Mustahil Helikopter Meletup Di Udara

KUALA LUMPUR  – Kemungkinan helikopter AS365 N2 Dauphin meletup di udara adalah mustahil kerana pesawat tersebut dilengkapi dua enjin yang jika salah satunya tidak berfungsi, helikopter tersebut masih boleh terbang menggunakan enjin satu lagi.

 

Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat), Prof. Madya Kapten Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian menyifatkan laporan yang mengatakan helikopter tersebut meletup di udara adalah agak janggal untuk terjadi.

 

Katanya, sekalipun kedua-dua enjin tersebut tidak berfungsi, juruterbang helikopter tersebut boleh menggunakan sistem ‘auto-rotation’ yang membolehkan pesawat tersebut mendarat secara ‘melungsur’ dan bukan menjunam.

 

“Kita harus menunggu laporan terperinci kotak hitam helikopter tersebut bagi merungkai segala kemungkinan nahas helikopter tersebut. Tetapi, untuk mengatakan bahawa helikopter tersebut meletup di udara adalah agak mustahil.

 

“Malah, rakaman suara kokpit juga memerlukan siasatan lengkap untuk kita mengetahui mengapa tiada panggilan kecemasan dilakukan sepanjang penerbangan dari Kuantan ke Subang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Helikopter yang membawa enam orang termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih pada pukul 4.55 petang Sabtu lalu.

 

Empat lagi mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pekerja syarikat penerbangan, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin, Koperal Razkan Seran.

 

Dalam pada itu, Mohd. Harridon tidak menolak kemungkinan nahas itu sama seperti menimpa helikopter Bell 206 Long Ranger yang terhempas di Bario, Sarawak pada tahun 2004 apabila terjadi satu situasi ‘vakum’ atau tiada udara langsung di kawasan tersebut.

 

Katanya, keadaan tiada udara itu boleh menyebabkan helikopter tersebut tidak dapat berfungsi dan akhirnya terhempas.

 

“Penerbangan di kawasan bukit-bukau berisiko tinggi. Oleh itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya situasi ‘vakum’ yang menyedut udara sehingga menyebabkan helikopter tersebut tidak dapat berfungsi,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.