Militan Ala IS Rancang Culik Dan Serang Lokasi Strategik Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 17 individu yang berjaya ditahan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang disyaki mempunyai kaitan dengan militan IS dipercayai merancang penculikan orang kenamaan dan mahu menyerang beberapa lokasi strategik di ibu negara serta Putrajaya.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataannya yang mengesahkan perkara itu menjelaskan suspek yang berusia 14 hingga 49 tahun itu ditahan ketika merancang serangan dalam pertemuan sulit yang diadakan di sekitar Lembah Klang dan Kedah.

 

Maklumat awal menunjukkan mereka mahu menubuhkan kumpulan pengganas ala IS di Malaysia. Beberapa orang daripada mereka mempunyai kepakaran menggunakan senjata api dan pernah terlibat dalam Kumpulan Militan Malaysia (KMM) serta terbabit dalam konflik di Syria.

 

“Antara yang ditangkap ialah anggota kanan sel yang berusia 49 tahun dan dia pernah menganggotai Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Seorang guru agama berusia 38 tahun turut ditahan dan kedua-dua mereka ini pulang dari Syria sejak Disember lalu.

 

“Selain itu, seorang pengawal keselamatan yang mempunyai akses senjata api serta seorang bekas anggota Jemaah Islamiah (JI) yang mahir menggunakan senjata turut ditahan,” katanya.

 

Menurut Khalid lagi, kumpulan terbabit juga disyaki mahu menyerang balai-balai polis dan kem tentera bagi memperolehi bekalan senjata api.

 

“Mereka turut merancang mahu mendapatkan bekalan itu daripada sebuah kumpulan pengganas dari negara jiran,” katanya yang turut mengesahkan sejak Februari 2013 seramai 92 orang telah ditangkap kerana disyaki terbabit dengan IS.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan ada individu yang ditahan itu pernah terlibat dalam dalam cubaan merompak senjata api dari Balai Polis Guar Chempedak, Kedah pada 2001. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.