Gemuk Is Awesome: Abam Bocey Jawab Teguran Perunding Kesihatan

KUALA LUMPUR – Pemenang Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014, Abam Bocey menjelaskan ucapan beliau berbunyi ‘Gemuk Is Awesome’ hingga diwujudkan hashtag di laman sosial itu mempunyai maksud tersendiri yang bersifat positif.

 

Sebagai artis yang mempunyai fizikal comel, Abam mengakui ucapan berkenaan jelas ditujukan untuk semua insan yang mempunyai susuk tubuh besar sepertinya supaya tidak terus mundur dan berputus asa dalam meneruskan kehidupan.

 

“Mungkin orang seperti saya yang bertubuh besar ini sering dipandang negatif. Orang melihat gemuk itu sesuatu yang tak menyihatkan. Tapi daripada sudut lain yang berbaur positif, kita kena bagi semangat untuk orang seperti saya ini.

 

“Sebab itu terpacul ucapan Gemuk Is Awesome itu. Orang seperti saya ini secara dasarnya mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. Mereka sering diejek hingga takut berdepan dunia luar. Sedikit sebanyak skeptikal itu akan membuatkan mereka ini jadi mundur dan murung.

 

“Jadi tagline itu saya jadikan ia sebagai lambang untuk menaikkan semangat. Orang berbadan macam saya ini, suka menyendiri. Orang akan pandang rendah tapi tak baiklah macam itu. Ini lumrah yang saya sering lalui,” kata Abam kepada BH Online sambil menyifatkan tagline itu sebagai kuasa untuk membuktikan cakap cakap belakang yang orang berbadan besar tidak boleh berjaya.

 

Abam turut ditanya mengenai lanjutan kepada perkara yang dibangkitkan Kevin Zahri di laman Instagramnya hari ini. Selebriti Kesihatan dan Kecergasan Malaysia itu bersedia membantu Abam dan selebriti tanah air lain yang bersedia untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

 

“Saya sanggup sahut cabaran itu. Saya bersedia. Malah sejak tiga bulan lalu pun, saya sudah mula berdiet. Saya juga mahu stamina yang kuat dan cergas untuk meneruskan kerjaya seni. Iyalah supaya saya tidak cepat penat, saya kena mula berdiet.

 

“Saya sudah mula tidak makan nasi dan amalkan pemakanan produk tambahan dan berasaskan protein. Ukuran pinggang saya pun sudah mula menyusut dari 58 sentimeter ke 52 sentimeter,” katanya yang sudah lama tak menimbang berat badan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.