Bekalan Susu & Ceramah Agama Tiada Kaitan Dengan Anwar – Jabatan Penjara

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara menafikan bahawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, memberi ceramah agama dan kaunseling kepada banduan lain di penjara itu.

 

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu menyatakan agensi itu mempunyai pegawai khusus atau menjemput pihak berkelayakan bagi tujuan program berbentuk kaunseling dan keagamaan untuk bantuan.

 

“Perkara ini tidak benar sama sekali kerana bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempatkan dalam sel perseorangan sejak menjalani hukuman penjara pada 10 Feb 2015,” katanya.

 

Mengenai dakwaan bahawa Anwar dikatakan membawa reformasi kepada penjara dan banduan kini dibekalkan susu tiga kali seminggu, jabatan itu menjelaskan bekalan susu atau makanan tambahan atau diet yang dipinda, telah lama diberikan kepada banduan yang sakit atau mempunyai masalah kesihatan setelah disyorkan oleh pegawai perubatan.

 

“Susu dibekalkan bukan kerana Datuk Seri Anwar atau hanya diberikan setelah beliau menjalani hukuman di penjara itu,” katanya mengulas laporan berita yang menyiarkan kenyataan beberapa Anggota Parlimen dan peguam berhubung perkara tersebut yang didapati tidak tepat.

 

Mengenai kebenaran yang diberikan kepada Anwar untuk menghadiri pengebumian bapanya yang meninggal awal pagi semalam, Jabatan Penjara dalam kenyataan itu berkata tindakan itu adalah mengikut Seksyen 31 Akta Penjara 1995.

 

“Setelah mempertimbangkan permohonan diterima, Komisioner Jeneral Penjara meluluskan permohonan tersebut menggunakan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 31 Akta Penjara 1995.

 

“Kemudahan ini juga dipraktikkan kepada banduan lain yang memohon iaitu setelah mempertimbangkan berbagai aspek berkaitan dengannya,” katanya.

 

Kenyataan itu turut menafikan dakwaan beberapa Anggota Parlimen bahawa Pakatan Rakyat telah membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Penjara untuk berjumpa Anwar yang dibuat dua minggu sebelum tarikh 31 Mac lepas.

 

“Ditegaskan bahawa laporan dan kenyataan tersebut tidak benar sama sekali kerana surat permohonan adalah bertarikh 25 Mac dan diterima Pengarah Penjara Sungai Buloh pada 27 Mac. Permohonan tersebut tidak dibuat dua minggu sebelum tarikh 31 Mac,” katanya.

 

Mengenai dakwaan bahawa Penjara Sungai Buloh menyekat buku dan dokumen Parlimen untuk diberikan kepada Anwar, Jabatan Penjara berkata perkara itu tidak tepat dan mengelirukan kerana banduan termasuk Anwar boleh dibekalkan buku dan boleh membaca buku mengikut prosedur yang ditetapkan.

 

“Mengenai dokumen Parlimen, sehingga 31 Mac tiada mana-mana pihak memohon atau menghantar dokumen berkenaan untuk dibekalkan kepada Anwar,” katanya yang turut menafikan bahawa polis menyamar sebagai pegawai penjara untuk memantau Anwar melalui kamera litar tertutup (CCTV). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.