Bawang Tidak Pedihkan Mata Dihasilkan

TOKYO – Sebuah syarikat makanan Jepun, House Foods Group, mendakwa berjaya mencipta bawang yang tidak akan memedihkan mata apabila dipotong.

 

House Foods Group menyatakan, penyelidik mereka berjaya mengubah sifat sejenis enzim yang memedihkan mata di dalam bawang itu.

 

Syarikat makanan tersebut menyatakan, pihaknya dalam satu kajian pada 2002 menemukan proses biomekanik yang menyebabkan seseorang menangis apabila memotong bawang.

 

“Daripada hasil kajian itu, kami berjaya mencipta teknik untuk mengubah sifat enzim terbabit.

 

“Kami menggunakan sejenis ion untuk menyebabkan bawang menghasilkan hanya sejumlah kecil enzim itu, tetapi pada masa sama mengekalkan nutrisi dan rasa tumbuhan ini,’’ kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat berkenaan.

 

Selain mengurangkan kesan menyebabkan mata pedih, teknik yang dihasilkan syarikat itu turut menjadikan bawang kurang berbau.

 

House Foods Group menyatakan, kesemua 20 kakitangan menguji bawang yang dihasilkan tersebut dan mengesahkan tumbuhan itu tidak lagi berbau.

 

“Keadaan itu membawa maksud tiada lagi nafas dan tangan berbau selepas makan atau memotong bawang,’’ ujar kenyataan berkenaan.

 

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak mempunyai rancangan untuk menghasilkan bawang itu secara komersial.

 

Dalam pada itu, beberapa penyelidik tidak bersetuju bahan yang mencetuskan kepedihan mata tersebut dihilangkan daripada bawang.

 

Seorang ahli kimia, Eric Block berkata, bahan tersebut wujud untuk memastikan bawang dapat hidup dalam persekitaran semula jadi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.