Pengerusi Sifatkan Isu COO Felcra Tengking Pekerja Hanya Perkara Biasa

KUALA LUMPUR — Tindakan Ketua Pegawai Operasi (COO) Felcra Berhad Mohd Khairi Mahamor yang memarahi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit yang tular di media sosial sejak kelmarin akan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Felcra Berhad (Felcra), hari ini.

Pengerusi Felcra Datuk Nageeb Wahab berkata ketika ini pihaknya sedang mengadakan siasatan dalaman bagi mengetahui punca sebenar kejadian tersebut yang berlaku di ladang kelapa sawit di Kampung Serambi, Pekan, Pahang.

“Kami akan jalankan siasatan dalaman. Tetapi terus-terang, kalau anda biasa kerja di ladang, ini perkara biasa tetapi mungkin cara penerimaan sekarang berbeza, walau apapun, kami tidak mengatakan bahawa kami yang betul.

“Selepas mesyuarat esok (hari ini), kita akan bincang bagaimana dan apa tindakan selanjutnya yang akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Wisma Felcra di Setapak di sini semalam.

Nageeb berkata beliau menganggap isu tersebut tidak serius dan menyifatkan tindakan yang tular itu sebagai ekspresi pegawai yang kini dalam keghairahan untuk melakukan perubahan kepada Felcra.

Menjelas lanjut, kata Nageeb, pegawai tersebut hanya bertindak memarahi pekerja tanpa mengeluarkan sebarang perkataan kesat kepada mereka yang terlibat.

Ditanya sama ada kejadian tersebut merupakan insiden pertama, Nageeb berkata ia adalah insiden pertama yang dirakam dan ditularkan.

Kelmarin, tular sebuah video berdurasi satu minit yang memaparkan COO Felcra itu memarahi pekerja di sebuah ladang kelapa sawit disebabkan mereka tidak menggunakan semula beg baja yang telah digunakan. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.