Kenyataan Lim Guan Eng Dikhuatiri Cetus Porak-Peranda, Malapetaka – Veteran DAP

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng diingatkan jangan terlalu asyik berpolitik sehingga mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menghiris perasaan antara kaum.

Tindakan itu bukan sahaja boleh mewujudkan situasi porak-peranda tetapi dikhuatiri boleh mencetuskan malapetaka.

Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, semua warga Malaysia termasuk para pemimpin perlu mempunyai rasa sayang dan cintakan negara pada tahap tertinggi.

Menurutnya, kalau sayang kepada negara maka peliharalah keamanan, kesejahteraan, toleransi dan perpaduan antara kaum.

Seng Giaw yang sama sekali tidak boleh menerima kenyataan-kenyataan sensitif berhubung perkauman berkata, banyak perkara yang baik-baik boleh dilakukan oleh pemimpin daripada mengeluarkan perkataan yang sensitif.

“Sebab itu saya selalu menyatakan setakat berpolitik sahaja tidak cukup. kalau cintakan negara, elakkanlah bercakap atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan antara kaum. Hormati sesama kaum.

“Jangan mencetuskan kenyataan yang boleh memporak-perandakan negara hingga mencetuskan malapetaka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Seng Giaw mengingatkan para pemimpin negara bahawa usaha mengukuhkan perpaduan perlu sentiasa ditingkatkan dan jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh memusnahkannya.

“Kalau ada sikap hormat tidak ada isu berhubung mengenai agama, menghina Nabi dan sebagainya. Oleh sebab itu usaha ke arah mengukuhkan perpaduan perlu dicari, diusahakan, ditingkatkan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan kebebasan bersuara jangan sesekali disalahgunakan terutama membabitkan isu agama dan kaum kerana ia tidak baik untuk Malaysia. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.