“Kalau Rasa Pecat Kami Boleh Menangkan PKR Di DUN Rantau, Silakan” – MPKK

SEREMBAN – Sebelas pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mempertahankan pendirian mereka menolak Dr. S. Streram menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN tersebut.

Mereka juga sanggup berdepan tindakan disiplin kerana mengadakan sidang akhbar Ahad lalu bagi membantah Timbalan Ketua PKR Rembau itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi MPKK Kampung Sega, Kamarul Yaakop, mereka menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, malah sedia dipecat daripada jawatan berkenaan.

“MPKK di bawah kuasa Menteri Besar, kalau dia rasa dengan menyingkirkan kami boleh menangkan Streram di Rantau, silakan.

“Kami membantah untuk kebaikan PKR dan bukannya didalangi mana-mana pihak. Kami adalah ‘otai’ reformasi dan pernah jatuh bangun bersama PKR sejak tahun 1998 lagi,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Aminuddin Isnin lalu bahawa 11 pengerusi dan setiausaha MPKK yang secara terbuka tidak mahu Streram dicalonkan dalam PRK DUN Rantau mungkin dikenakan tindakan disiplin.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, mereka lebih tahu sentimen di peringkat akar umbi yang menolak pakar bius itu bertanding sebagai calon PH.

“Sebagai contoh apabila kami nak perkenalkannya kepada penduduk di Kampung Sega, kami diberi ‘tazkirah’ oleh penduduk yang enggan menerima Penyelaras DUN Rantau itu.

“Penduduk kata kenapa mereka mahu pilih calon yang bukan anak tempatan. Lebih baik sokong Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang sudah tentu anak jati dan banyak berjasa di Rantau. Macam mana kami hendak bekerja kalau calon tak disukai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Sega Hulu, Abdul Hafiz Mohd. Ali berkata, Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri sepatutnya mendapatkan gambaran sebenar daripada mereka sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, sekiranya Streram dipilih menjadi calon, peluang PH untuk menang adalah tipis dan kemungkinan kalah teruk di tangan Barisan Nasional.

“Saya bercakap perkara yang benar. kalau Menteri Besar hendak lucutkan jawatan saya, teruskan. Saya bukannya pak turut dan hanya tukang angguk,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.