Zoey Nafi Bakal Berkahwin Dengan Datuk

KUALA LUMPUR – Pelakon Zoey Rahman dihujani ucapan tahniah di laman Instagramnya, gara-gara memuat naik gambar dan video kononnya beliau sedang menjalani sesi fotografi praperkahwinan di Iceland.

Malah, khabar angin mengenai pengacara dan ahli perniagaan ini juga bertebaran kononnya kini menghitung hari untuk menamatkan zaman bujang bersama pereka fesyen bergelar Datuk, lapor BH.

Selain ucapan tahniah, tidak kurang dalam kalangan pengikutnya yang terkejut dengan cerita berkenaan.

Ketika diajukan persoalan mengenai perkara itu kepada empunya diri, Zoey hanya tergelak besar sekali gus menafikan dirinya sedang membilang hari untuk disatukan dengan wanita bernama Datuk Nadia Marni.

“Tak adalah. Mana ada saya nak kahwin? Penggambaran pada Februari lalu itu sebenarnya adalah untuk iklan sebuah jenama kamera terkenal. Iklan itu pula akan disiarkan di pawagam.

“Dalam iklan itu, ada empat cerita yang akan ditampilkan. Bagi babak membabitkan saya, seorang jurufoto dipaparkan sedang merakamkan aksi indah pasangan kekasih untuk gambar praperkahwinan mereka.

“Apabila saya memuat video dan gambar berkaitan, memang ramai yang ingat saya nak kahwin. Sebahagiannya bukan saja ucap tahniah, malah mengingatkan saya supaya jangan lupa menjemput mereka apabila hendak berkahwin nanti. Tidak kurang yang terkejut, malah mempersoalkan cerita berkenaan,” katanya.

Mengenai wanita bergelar Datuk itu pula, Zoey mengaku mereka sudah saling mengenali sejak setahun lalu.

“Kami tidak bercinta pun, sebaliknya hanya berkawan. Saya masih lagi solo,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama 20 episod, Mat Rukun, di Kedah. Dalam drama yang dijadualkan mengisi slot Kelakarama TV9 itu, beliau bergandingan dengan adik Fasha Sandha, Elisya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!