Suspek Bunuh Jong Nam Sembunyi Di Kedutaan

GEORGETOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya tiga suspek warga Korea Utara yang terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam masih bersembunyi di Kedutaan Korea Utara, di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya percaya ada tiga suspek di Kedutaan Korea Utara, termasuk kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, lapor BH.

“Berapa lama lagi mereka hendak bersembunyi di kedutaan itu. Jika suspek enggan menyerah diri dengan baik, PDRM akan guna alternatif lain terhadap mereka.

“Ia akan dibuat mengikut Seksyen 111 Kanun Keseksaan, selain PDRM bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas semua suspek terbabit dan kita juga bersedia untuk menunggu mereka serah diri, biarpun dalam masa lima tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa (IDEC) – Rantau Timur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Serantau IDEC-Agensi Penguatkasaan Dadah Rantau Timur, Jesse R Fong dan Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh menggunakan racun dikenal pasti agen saraf VX ketika mangsa menunggu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Khalid menggesa ahli politik pakatan pembangkang berhenti mempolitikkan isu kehilangan paderi di Shah Alam, tiga minggu lalu.

“Mereka (ahli politik pakatan pembangkang) perlu berhenti membuat spekulasi dalam kes ini. Biar pihak polis jalankan siasatan dahulu.

“Lebih menghairankan, bagaimana ahli politik terbabit boleh menyuarakan hasrat mewakili dalam rundingan kes berkenaan, sedangkan tiada sebarang maklum balas diterima daripada penculik,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.