Sekatan keluar, Malaysia Guna Konvensyen Geneva

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengambil tindakan berdasarkan Konvensyen Geneva bagi menyelesaikan isu sekatan keluar oleh Pyongyang terhadap pegawai dan kakitangan kedutaan Malaysia di Korea Utara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan merujuk kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan terbaru Korea Utara itu.

Beliau turut memaklumkan tindakan sekatan keluar oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara hanya dibuat kepada pegawai dan kakitangan kedutaan Korea Utara.

“Kita akan mengambil beberapa tindakan berdasarkan Konvensyen Geneva yang kita tandatangani sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara lain,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ditanya sama ada wujud ancaman terhadap rakyat Malaysia di negara terbabit, Ahmad Zahid berharap tiada ancaman timbul susulan perkembangan terbabit.

“Pasukan bola sepak kita pun tidak akan bermain di Pyongyang dan keputusan ini diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.