Malaysia Akan Terus Hantar Pelajar Ke Jepun Dan Korea – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menghantar banyak pelajarnya ke Jepun dan Korea Selatan, dan akan terus berbuat demikian, serta ke hampir seluruh dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan menghantar pelajar Malaysia menuntut di universiti di Jepun dan Korea, misalnya, telah membantu mereka memperoleh etika kerja Jepun.

“Ingin saya nyatakan kepada saudara bahawa langkah ini telah menyumbang kepada pencapaian kami dalam bidang pembangunan, tetapi ia bukan hanya terhad kepada menerima pakai dasar ekonomi sahaja, terdapat juga sebab lain yang membolehkan kami mencapai kejayaan seperti yang ada hari ini,” katanya dalam wawancara eksklusif oleh Al Arabiya News Channel bersempena lawatan negara bersejarah oleh Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Bermula 1981, Malaysia telah menerima pakai dasar ‘Pandang Ke Timur’. Dasar itu memberi tumpuan pada Korea dan Jepun dan menjadikan negara berkenaan sebagai contoh.

Dalam wawancara itu yang dikendalikan oleh Pengurus Besar Al Arabiya, Turki Aldakhil baru-baru ini, Najib ditanya tentang sejauh mana model Jepun telah membantu dalam kejayaan yang telah dicapai Malaysia?.

“Ya, pada peringkat awal, kami mendapat manfaat daripada pengalaman mereka dan kami menerima pakai suatu dasar yang mencerminkan pengalaman Jepun serta Korea kerana ia merupakan kisah kejayaan pada tahun 70-an dan 80-an dalam abad lepas.

Mengulas mengenai kepelbagaian etnik dan agama, perdana menteri berkata walaupun masyarakat Malaysia memiliki ciri-ciri kepelbagaian, tetapi mereka berjaya bekerjasama sebagai sebuah negara.

Beliau berkata walaupun berdepan banyak cabaran, Malaysia telah mencapai kejayaan besar kerana ia bergantung pada kekuatan setiap kumpulan etnik dan mengamalkan dasar bagi membina perpaduan negara.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.