Jee Kagumi Keperibadian Tommy Page

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Fauziah Latiff, benar-benar terkejut menerima berita kematian bintang terkenal era 90-an, Tommy Page, beberapa hari lalu.

Menurut Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, beliau baru saja mengetahui mengenai pemergian penyanyi A Shoulder To Cry On itu kerana sebelum ini dia menjalankan aktiviti di kawasan yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi.

Selain Amy Mastura yang pernah merakamkan lagu duet bersama Page, Fauziah juga pernah beberapa kali berkongsi pentas dengan penyanyi Amerika Syarikat terbabit pada zaman gemilang artis lelaki itu dulu.

“Satu penghormatan besar bagi saya apabila diberikan peluang berkongsi pentas dengannya dalam beberapa siri persembahan. Ia akan terus kekal menjadi memori indah buat diri ini.

“Saya percaya, ramai juga yang membesar pada era muziknya, dan pasti mereka turut mempunyai sejarah tersendiri. Saya harus berterima kasih kepada syarikat rakaman di atas peluang itu,” kata penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan ini.

Jee turut memberitahu, beliau cukup senang dengan keperibadian Page selama perkenalan mereka terjalin. “Hubungan kami berlangsung atas paksi kerja.

Saya sendiri melihatnya sebagai seorang yang sangat hebat, merendah diri dan berbakat besar. Orangnya juga sangat ringkas dan penuh sopan apabila berkata-kata.

Boleh dikatakan, senyuman tidak pernah lekang di bibirnya,” katanya. Page meninggal dunia 3 Mac lalu (waktu AS) pada usia 46 tahun, dikatakan akibat bunuh diri.

Sementara itu, Jee yang kali akhir muncul dengan single Takdir Cinta pada tahun lalu memberitahu, beliau kini dalam proses menghasilkan buah tangan terbaru.

“Ketika ini, semuanya masih pada peringkat perbincangan dan perancangan. Saya belum pasti sama ada mahu mengeluarkan single baharu atau album penuh yang memuatkan beberapa lagu. Kita lihatlah bagaimana nanti,” katanya.

Takdir Cinta ciptaan Sharon Paul dan Fedtri yahya menjadi buah tangan terkini Jee selepas enam tahun tidak muncul dengan lagu baharu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.