Deklarasi Rakyat: Mahathir, Muhyiddin Mahu Perkudakan Pakatan – Chegubard

Kuala Lumpur – Pembabitan Pakatan Harapan dalam Deklarasi Rakyat dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad jelas menunjukkan gabungan pembangkang berjaya diperkuda oleh bekas perdana menteri itu, demikian kata bekas ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin.

 

Badrul atau Chegubard berkata segala tindak tanduk Tun Mahathir adalah untuk menukar kepimpinan sedia ada dan pembangkang adalah medium terbaik bagi beliau untuk merealisasikan impian berkenaan.

 

“Deklarasi Rakyat keadaanya begini, saya tolak usaha di mana Tun Dr Mahathir, (Tan Sri) Muhyiddin memperkudakan pemimpin pembangkang atas sentimen rakyat. Asas saya adalah rakyat sudah muak dengan BN, kita (pembangkang) tidak perlukan Tun Mahathir pun, beliau tidak kuat. Tidak semua (ahli Umno) keluar.

 

“Kita agak keterlaluan, sila baca kenyataan (Datuk Seri) Azmin Ali sebelum menandatangani deklarasi tersebut, malah kenyataan yang dibuat oleh (Datuk) Mujahid Yusof Rawa yang mengangkat Tun Mahathir sebagai negarawan.

 

Kita kena ingat bahawa tujuan utama beliau adalah untuk menukar (Datuk Seri) Najib seperti mana menukar kepimpinan Tun Abdullah Badawi apabila Pak Lah gagal menjadi boneka dia tukar,” katanya kepada Antarapos.

 

Chegubard berkata, langkah sama pernah dibuat oleh Mahathir sebelum ini yang kurang berpuas hati dengan pencapaian orang pilihannya sendiri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 

Langkah ‘kitar semula’ skrip lama itu katanya, berjaya dilakukan bekas pemimpin Umno itu dengan menjalinkan kerjasama bersama pembangkang yang nyata mahu Najib digugurkan.

 

“Ini pengulangan skrip lama, Tun Mahathir keluar Umno pada zaman pemerintahan Tun Abdullah, sama macam pemerintahan (Datuk Seri) Najib. Dengarlah elok-elok, tetap sama saling tak tumpah, sama. Yang saya pertikaikan adalah rakyat jadi keliru, tetiba pembangkang boleh kerjasama, rakyat akan tengok mana prinsip pembangkang,” soal beliau.

 

“…sebarang usaha mengaitkan Tun Mahathir dengan reformasi pembangkang merupakan satu usaha yang bodoh dan hodoh,” katanya.

 

Pada Jumaat, Tun Mahathir mengepalai 57 yang lain menandatangani Deklarasi Rakyat yang rata-ratanya menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri.

 

Antara yang hadir Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas Presiden Kita Datuk Zaid Ibrahim.

 

Pembangkang diwakili penasihat DAP Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali; Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dan beberapa kepimpinan Pakatan Harapan.

 

Ini termasuk Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali; Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas ketua penerangannya Datuk Mahfoz Omar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.