Agenda Utama ‘Deklarasi Selamatkan Malaysia’ Untuk Bebas Anwar – Wan Azizah

Kuala Lumpur – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi agenda utama Selamatkan Malaysia.

 

Pimpinan tertinggi PH berkata Tun Dr Mahathir dan sekutu pemberontaknya perlu menerima tuntutan itu dalam menjayakan agenda mereka menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – samada bersetuju ataupun tidak.

 

“Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional,” tegas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

 

Katanya, tandangan Mahathir dan sekutu pemberontaknya pada deklarasi itu merupakan penerimaan bahawa Anwar mangsa kepada institusi yang dirosakkan itu.

 

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia,” katanya membacakan kenyataan bersama PH di sidang media di Parlimen hari ini.

 

Di sidang media yang sama, Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula secara berterus-terang berkata PH tidak perlukan persetujuan Mahathir berhubung penetapan agenda baharu itu kerana beliau perlukan kekuatan pembangkang untuk menjayakan agendanya.

 

“Berapa ramai Ahli Parlimen yang dia (Mahathir) ada?” soal Kit Siang.

 

Kempen Selamatkan Malaysia yang diumum Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menguja minat dan mencetus perbualan dalam kalangan rakyat.

 

Bagaimanapun, Deklarasi Rakyat yang dibaca oleh Tun Mahathir dan ditandatangani oleh semua pihak terbabit senyap berhubung isu pembebasan Anwar.

 

Wan Azizah berkata PH akan mengerakkan tiga tuntutan iaitu perletakan jawatan Najib, reformasi institusi dan pembebasan Anwar secara bersepadu dalam kempen ke seluruh negara, mulai bulan ini.

 

“Kami harap Mahathir akan bersama kami,” kata Wan Azizah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.