Usaha MAS Pulihkan Keyakinan Pengguna Bukan Mudah

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS), yang terjejas teruk akibat dua tragedi, MH370 dan MH17, mengakui bahawa usaha untuk memulihkan keyakinan pengguna bukanlah tugas yang boleh dilakukan semalaman.

Namun, syarikat penerbangan itu kini mula melihat permintaan dari pasaran China kembali meningkat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif entiti MAS sedia ada, ‎ atau syarikat lama, Ahmad Jauhari Yahya berkata momentum positif itu menunjukkan orang ramai kini mula kembali meneruskan hidup seperti biasa.

“Permintaan dari pasaran itu mula meningkat semula. Kami faham bahawa ia akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan keyakinan orang ramai,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Harga bahan api yang lebih rendah turut melegakan sektor penerbangan, katanya.

Awal tahun lepas, segala-galanya nampak baik untuk MAS apabila Ahmad Jauhari mengumumkan langkah-langkah pengurangan kos dan perbelanjaan berhemat pada 19 Februari 2014 sebagai antara usaha mengembalikan keuntungannya, namun menerima pukulan hebat pada bulan berikutnya.

Pada 8 Mac, penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dari skrin radar semasa terbang di udara Laut China Selatan, kurang dari sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi.

Jet Boeing 777-200ER itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Mengulas mengenai pelan pemulihan asal MAS, beliau berkata kesan dua tragedi MH370 dan penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mengubah terus usaha itu dan tidak lagi relevan.

“Kami perlu mengkaji semula pelan itu memandangkan ia tidak lagi relevan memandangkan keadaan lebih teruk, yang mendorong Khazanah Nasional mengemukakan pelan pemulihan yang baharu,” katanya.

MAS telah mengubah struktur pemilikannya dan menukar pembiayaan, operasi dan pengurusan untuk memastikan syarikat itu kembali mencatat keuntungan.

Pelan baharu itu melibatkan penyahsenaraian saham MAS dari Bursa Malaysia, yang diselesaikan pada 31 Dis tahun lepas, serta mewujudkan entiti baharu yang dikenali sebagai ‘NewCo’ yang beroperasi pada 1 Julai dan diketuai pakar pemulihan Christoph Mueller.

Ahmad Jauhari yang akan bersara bersama Oldco pada September, akan membantu Mueller di sepanjang tempoh peralihan ini.

Ahmad Jauhari berkata pengajaran terbesar yang dipelajari MAS daripada kejadian MH370 itu ialah perlunya lokasi setiap satu pesawatnya diketahui.

“Dan saya rasa kami sudah melakukannya,” katanya dan menambah MAS sedang bekerja keras untuk memastikan penerbangannya selamat menerusi langkah meningkatkan keselamatan penerbangan an menjejaknya.

Dalam hubungan ini, MAS sudah menambah baik Sistem Komunikasi dan Pelaporan (ACARS) lima minit lebih cepat berbanding syarat baharu standard antarabangsa bagi membolehkan pengesanan kedudukan pesawat diketahui dengan lebih baik.

ACARS ialah sistem komunikasi pesawat yang menghantar data penerbangan termasuk, kelajuan, halaju, arah, kedudukan dan lokasi sistem kawalan pesawat menerusi satelit.

“Selepas mengetahui kehilangan MH370, kami segera melihat kaedah untuk menambah baik. Kami kini dapat menjejak pesawat lebih baik berbanding yang dicadangkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) .

“Posisi sistem mengelak pelanggaran udara standard (ACAS) untuk 777 dimuat turun setiap 30 minit sebelum ini, dan kini dicepatkan kepada 15 minit,” kata Ahmad Jauhari.

Pada masa yang sama, muat turun semua pesawat MAS, selain 777, dibuat setiap  10 minit, katanya.

Ahmad Jauhari mengulangi bahawa MAS merupakan jenama yang diketahui ramai.

Ia menerima kejutan disebabkan dua insiden itu namun menerusi pelan penstrukturan baharu, jenama ini akan dibangunkan semula.

Beliau turut memuji dan sangat bangga terhadap komitmen petugas MAS.

“Hakikat bahawa syarikat penerbangan itu masih berjalan dan beroperasi, anda perlu beri kredit kepada beribu-ribu petugas yang melaksanakan tugas mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.