Ular Gergasi Tewas Di Tangan Pemotong Kayu Api

Mukah – Seekor ular sawa gergasi yang panjang kira-kira enam meter dan seberat 85 kilogram tumpas di tangan seorang lelaki di Kampung Pergau, Matu di Igan dekat sini.

 

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, sekumpulan penduduk kampung yang sedang memotong kayu api di kawasan hutan berhampiran menyedari kehadiran ular sawa berkenaan yang bersembunyi di bawah sebatang kayu buruk.

 

Menurut lelaki yang ingin dikenali sebagai Anong, 50-an, dia bersama empat rakannya bernasib baik perasan kelibat ular tersebut yang pada mulanya tidak menyangka objek bergerak-gerak di sebelah kakinya itu rupa-rupanya seekor ular sawa batik yang besar.

 

“Bimbang dengan keselamatan diri dan rakan-rakan lain, saya terus menghayunkan sebilah parang ke arah bahagian badan reptilia itu sebelum haiwan tersebut bertindak agresif.

 

“Dalam situasi panik itu, saya memberanikan diri untuk menetak kepala ular sawa gergasi dan tidak menyangka dapat menumpaskan seekor ular sebesar itu dalam diselubungi rasa takut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini kelmarin.

 

Kejadian itu merupakan kali kedua selepas seekor ular sawa seberat hampir 50 kilogram ditemukan di Kampung Jaha, Sungai Mati, Matang di Perak pada 2 Mac lalu.

 

Tambahnya, selepas itu, dia bersama rakan-rakan mengambil masa kira-kira dua jam untuk membawa keluar ular sawa terbabit dari kawasan hutan ke kampung mereka.

 

“Kami belum pernah melihat ular sebesar itu dan terpaksa mengerah sepenuh kudrat untuk menarik reptilia besar itu.

“Penemuan ular sawa itu ternyata menggemparkan penduduk setempat kerana reptilia sebesar ini jarang ditemui di hutan berkenaan,” jelasnya.

 

Lelaki itu memberitahu , buat masa ini, bangkai ular sawa berkenaan belum diserahkan kepada mana-mana pihak. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.