Suhardi Optimis Skuad Negara Pamer Eleman Kejutan Peringkat Pertama LTdL 2015

LANGKAWI – Kapten skuad lebuhraya negara, Suhardi Hassan optimis rakan sepasukannya mampu menonjolkan elemen kejutan pada peringkat pertama Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (2015) sejauh 99.2km di sini esok.

 

Pelumba veteran berusia 32 tahun itu yang menggantikan Mohd Fauzi Ahmad Lutfi pada saat-saat akhir, mengakui cabaran pasukan profesional dunia seperti Team Sky dari United Kingdom dan Orica GreenEdge dari Australia tidak boleh dipandang mudah kerana mereka turut membariskan pelumba terbaik.

 

“Untuk peringkat pertama esok, kita akan cuba beri yang terbaik sama ada kedudukan keseluruhan mahupun (pelumba) Asia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

 

“Pasukan yang bertanding majoritinya merupakan pasukan terbaik dunia dan mungkin percaturan pasukan masing-masing yang akan membezakan antara kami semua,” jelas pelumba kelahiran Perlis itu.

 

Suhardi yang sudah 10 tahun bersaing dalam LTdL turut menjelaskan keadaan cuaca yang tidak menentu serta kelajuan angin bakal mempengaruhi momentum perlumbaan pada edisi ke-20 terutamanya di peringkat ketiga antara Gerik-Tanah Merah sejauh 170km.

 

Berkongsi pandangan sama adalah pelumba senior kebangsaan, Loh Sea Keong yang menyasarkan mereka bermula dengan langkah kanan pada perlumbaan pertama sambil berharap empat pelumba muda negara dapat menggunakan kejohanan untuk menimba pengalaman berguna dalam bersaing dengan pelumba terbaik dunia.

 

Selain Suhardi dan Loh, Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut mempertaruhkan Muhammad Faruq Daud, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan pasangan kembar Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen untuk menggalas cabaran negara pada edisi ke-20 ini.

 

“Kita harap mereka (pelumba muda negara) dapat beri saingan kepada pelumba daripada pasukan lain. Yang datang pada edisi kali ini juga agak hebat dan saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membimbing mereka,” jelas pelumba kelahiran Kelantan itu.

 

Kapten TSG, Mohd Zamri Salleh pula berpendapat laluan pertama bakal memberi peluang kepada pelumba pecut terutamanya dua rakan sepasukan iaitu adiknya Mohd Hariff Salleh dan Anuar Manan yang mempunyai pengalaman luas dalam zon pecutan.

 

“Saingan esok mungkin sengit kerana pelumba mungkin agak sedikit agresif kerana ia adalah peringkat pertama. Kita harap dua sprinter kita dapat gunakan peluang esok untuk catat keputusan terbaik,” kata Mohd Zamri.

 

“Kalau dapat kedudukan 10 atau lima terbaik pada perlumbaan esok, ia mungkin akan memberi kita semangat untuk perlumbaan seterusnya,” kata Mohd Zamri sambil menambah peringkat ketiga merupakan laluan paling mencabar.

 

Anuar yang ditemui pemberita pula enggan meletakkan harapan terlalu tinggi pada peringkat pertama esok kerana baharu sahaja menjalani latihan beberapa bulan lepas selepas pulih daripada kecederaan belakang.

 

“Saingan pada tahun ini juga agak sengit kerana pasukan seperti Team Sky turut menghantar pelumba terbaik mereka. Mungkin saya akan memberi laluan kepada Mohd Hariff kerana beliau juga merupakan pakar di zon pecutan,” jelas anak jati Kuala Ibai, Terengganu itu.

 

Peringkat pertama LTdL 2015 yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang esok melibatkan tiga zon pecutan iaitu di Teluk Ewa, Air Hangat dan Kuah serta tiga zon pendakian di Bukit Beringin, Lebuhraya Langkawi dan Pantai Kok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.