Selamat Tinggal Datin Maimon

Pelakon dan pelawak berpengalaman, Afdlin Shauki, 43, memutuskan tidak akan tampil lagi sebagai Datin Maimon selepas mendapat teguran daripada golongan ustaz.

 

Menurutnya, sejak mendapat teguran tersebut beliau ada menghubungi Mufti Perak, Tan Sri Harunsani Zakaria dan bertanya perihal penampilannya sebagai wanita ketika membuat persembahan di pentas lawak.

 

“Saya ada dapat teguran daripada ustaz. Mulanya saya berfikir hanya mahu menghiburkan penonton lagipun saya tidaklah menyerupai wanita sebenar dan tidak potong janggut tetapi hanya memakai pakaian wanita.

 

“Sewaktu zaman dulu pun, pelakon lelaki berlakon sebagai wanita sebab kaum wanita pada ketika itu tidak dibenarkan berlakon. Jadi, saya ingat ia tidak ada masalah.

 

“Namun, selepas mendapatkan kepastian daripada mufti berkenaan, beliau memberitahu saya bahawa orang lelaki memang tidak boleh memperagakan pakaian wanita.

 

“Memandangkan saya sudah mengerjakan umrah, jadi saya tidak boleh ambil mudah hal sebegini. Saya buat keputusan tidak akan tampilkan lagi Datin Maimon,” katanya ketika ditemui pada sidang media Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

 

Datin Maimon adalah karakter yang dilakokan Afdlin Shauki sewaktu menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM2011) dan watak itu menjadi popular dalam kalangan peminat kerana keletah ‘wanita’ itu yang sentiasa mengundang gelak ramai setiap kali kemunculannya.

 

Mengenai penglibatannya di pentas Lawak Ke Der 2015, kali ini Afdlin tidak akan tampil sebagai kumpulan Boboi. Sebaliknya, dia dicabar Hans Isaac untuk tampil membuat persembahan secara solo.

 

Justeru, berbekalkan pengalamannya, Afdlin menyatakan dia akan tampil dengan persembahan ‘stand-up comedy’ dengan lawak jenaka yang segar dan turut menyelitkan beberapa elemen baru.

 

“Sebenarnya, selama ini saya sering juga membuat ‘stand up comedy’ tetapi hanya untuk acara koporat tetapi apabila Hans cabar saya, saya rasa ini peluang terbaik lagipun sudah lama saya tidak buat di hadapan penonton yang berbagai peringkat umur.

 

“‘Stand up comedy’ ini sebenarnya kita kena kaji juga golongan penonton kita yang bagaimana. Bagi sesiapa yang sudah biasa menonton ‘stand up comedy’, mereka biasa mudah faham dengan lawak dan cerita kita sampaikan.

 

“Berbeza dengan penonton yang jarang menyaksikannya, mereka sukar memahami sesuatu cerita yang kita sampaikan.

 

“Namun, persembahan di Istana Budaya kita tahu penonton yang akan hadir terdiri daripada semua golongan sama ada kanak-kanak sehingga dewasa.

 

“Saya sudah buat beberapa persiapan dari segi bahan penceritaan dan saya juga akan selitkan beberapa elemen baru,” katanya.

 

 

Tunggu Skrip Dari Hollywood Siap

 

Perkembangan lain, Afdlin kini sibuk menguruskan perniagaannya jenama fesyen miliknya, Pelikat Pants yang kini telah berjaya menembusi pasaran hingga ke Afrika Selatan.

 

Selain itu, dia juga semakin aktif sebagai penceramah motivasi dan akan mengadakan seminar tidak lama lagi.

 

“Alhamdulilah, perniagaan saya Pelikat Pants semakin berkembang maju. Kami akan buka oulet baru di Avenue K.

 

“Baru-baru ini kami berjaya menembusi pasaran di Afrika Selatan dan Insya Allah ia juga akan dipasarkan di Australia tidak lama lagi.

 

“Saya juga mendapat undangan sebagai penceramah bersama pakar motivasi Dr. Azizan Osman.

 

“Saya dalam perancangan dalam masa terdekat ini untuk mengadakan seminar bertajuk cara mengadakan ujibakat dan satu lagi seminar tentang bagaimana untuk menjadi figura umum yang berjaya dari segi keewangan dan daya tahan,” katanya.

 

Dalam kesibukkan itu, Afdlin bakal mengarahkan satu filem mega terbitan kerjasama produksi tempatan dan Hollywood berjudul Sandakan Tears.

 

“Sekarang ini masih di peringkat praproduksi dan saya sedang menunggu skrip siap. Skrip dihasilkan produksi Hollywood berkenaan.

 

“Dijangka penggambaran akan bermula hujung tahun ini. Namun, buat masa ini apa yang saya difahamkan pemilihan pelakon masih lagi dalam perbincangan sebab pelakon yang disenaraikan sekarang ini masing-masing mempunyai jadual padat.

 

“Jadi, kita belum putuskan lagi siapa barisan pelakonnya,” katanya.

 

Sebelum ini dilaporkan Afdlin akan berkolaborasi dengan pengarah tersohor Hollwood, Roger Christian mengarahkan filem Sandakan Tears. Aktor Hugh Jackman antara yang mungkin terlibat dalam filem berkisar satu peristiwa sejarah di Sandakan Sabah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.