Sakit Tulang Belakang, Tapi Masih Boleh Menyanyi – Hafiz Suip

KUALA LUMPUR – Penyanyi lelaki, Hafiz Suip menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawasanya beliau sudah tidak boleh menyanyi lagi berikutan disahkan doktor menghidap sakit tulang belakang.

 

Dakwaan tersebut menyatakan Hafiz Suip tidak dibenarkan oleh doktor untuk meneruskan aktiviti dan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.

 

Namun, Hafiz menyatakan beliau masih lagi boleh menyanyi tetapi tidak boleh bergerak aktif ketika melakukan persembahan.

 

Malah, beliau mengharapkan orang ramai tidak menyebarkan cerita tersebut kerana ia mampu menutup punca rezekinya.

 

“Janganlah tutup punca rezeki saya dengan mengatakan saya tidak boleh menyanyi lagi. Doktor masih memberikan kebenaran untuk saya menyanyi namun tidak boleh bergerak terlalu aktif dan sebagainya ketika membuat persembahan.

 

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi memberi peluang kepada saya walaupun saya berada dalam keadaan kesakitan namun masih diberikan kekuatan untuk terus memperjuangkan kerjaya saya,” kata Hafiz.

 

Untuk menjaga kesihatan dirinya, Hafiz akan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap untuk setahun ini.

 

Juga, dia tidak mahu kerana sakit yang dialaminya, ramai pihak tidak mahu memanggilnya untuk membuat persembahan.

 

“Dalam jangka masa setahun ini saya akur berulang alik ke hospital demi kesihatan saya. Namun jangan serik untuk memanggil saya untuk menyanyi kerana kecederaan adalah di belakang dan tidak memberi kesan kepada suara saya,” gurau Hafiz.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.