Peniaga Lapor Polis Bantah Perhimpunan Kita Lawan

Batu Road Retailers Association (BARRA), yang mewakili para peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibunegara membuat laporan polis semalam, membantah perhimpunan Kita Lawan yang akan diadakan di sepanjang jalan itu hari ini.

 

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

 

Presiden BARRA, Datuk V.K. Liew berkata laporan polis dibuat kerana perhimpunan itu akan memberi kesan kepada peniaga akibat penutupan jalan dan kesesakan lalu lintas.

 

Katanya, perhimpunan itu akan menyebabkan hampir 100 peniaga terpaksa menutup premis perniagaan dan ini memberi kerugian kira-kira RM10 juta.

 

“Ini turut menjejaskan kehadiran orang ramai dan pelancong yang akan datang ke situ,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

 

Menurut Liew, sikap peserta perhimpunan tidak dapat dijangka dan mereka cenderung melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

 

“Perhimpunan ini akan menjejaskan ekonomi peniaga dan mendatangkan kerosakan pada harta benda di kawasan sekitar perhimpunan,” katanya.

 

Perhimpunan itu melibatkan kawasan di hadapan pusat membeli-belah Sogo.

 

Pada Februari lalu, dua individu termasuk aktivis pelajar ditahan ketika mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan pusat membeli-belah berkenaan.

 

Mereka ialah Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa, dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd Halim. – Bernama / MKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.