Liga Super: Perak Gagal Pungut Mata Penuh Di Gelanggang Sendiri

Ipoh – Perak gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan sekadar berkongsi satu mata dengan Kelantan selepas terikat 0-0 pada saingan Liga Super di Stadium Perak malam ini.

 

Suasana stadium gamat seketika apabila pasukan pelawat nyaris menjaringkan gol seawal minit ketiga menerusi sepakan pemain import Erwin Albeiro Carillo, namun berjaya ditepis penjaga gol Zamir Selamat.

 

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Kelantan dilihat lebih mendominasi perlawanan, yang merupakan perlawanan tunggal Liga Super malam ini.

 

Bersambung babak kedua, tiada sebarang jaringan dihasilkan meskipun kedua-dua pasukan melakukan serangan bertali arus ke kubu pertahanan lawan.

 

Pemain import tuan rumah Charles Souza Chad nyaris menjaringkan gol pada minit ke-79, namun tersasar dan melepasi palang gol.

 

Peluang terbaik pasukan pelawat untuk membuka jaringan dihasilkan Wan Zack Haikal Wan Nor yang masuk menggantikan kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi, pada minit akhir perlawanan dengan percubaan jarak jauh namun sedikit tersasar.

 

Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang yang terhidang apabila beberapa percubaan yang dilakukan sering tersasar dan tidak menghasilkan sebarang gol.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.