Liga Perdana: NS Rampas Tempat Teratas Daripada JDT II

Kuala Lumpur – Pasukan Negeri Sembilan Matrix mengekalkan rekod tanpa kalahnya dan menduduki tempat teratas Liga Perdana selepas menewaskan Kuantan FA 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

 

Skuad kendalian K. Devan bermula cemerlang menerusi jaringan seawal minit pertama melalui Sharizal Mohd Saad, sebelum penyerang import Francis Forkey Doe menambahkan jaringan pada minit kelima.

 

Pasukan tuan rumah merapatkan jurang pada minit kelapan melalui jaringan Milan Purovic namun Doe mengesahkan kemenangan pasukan pelawat dengan menambah jaringan pada minit ke-71.

 

Sementara itu, pasukan Pulau Pinang menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya.

 

Gol tunggal pasukan ‘Harimau Kumbang’ itu dijaringkan oleh penyerang kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri pada minit ke-39.

 

Peneraju liga minggu lepas, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) gagal mengekalkan tangga teratas liga selepas tewas 1-3 kepada pasukan T-Team di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 

Gol pertama pasukan itu dijaringkan oleh pemain import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev minit ke-44 melalui sepakan penalti, sebelum menambahkan jaringan pada minit ke-48.

 

Gol tunggal pasukan selatan tanah air itu dijaringkan oleh pemain tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-71 sebelum Norhakim Hassan menambahkan jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-88.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.