Lans Koperal Zakia Aleip Dibebaskan Hari Ini

SANDAKAN – Anggota pasukan Polis Marin Lans Koperal Zakia Aleip, yang diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas, dibebaskan hari ini, demikian diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar di sini yang turut dihadiri Zakia, yang baru tiba di Sandakan pagi ini dari Selatan Filipina, dengan menaiki bot.

“Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan usaha berterusan kerajaan melalui perundingan, berkat doa semua pihak dan kesabaran serta ketabahan ahli-ahli keluarga, maka usaha membebaskan beliau telah berhasil.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan kita yang telah berusaha sedaya upaya sehingga memastikan pembebasan Zakia,” katanya.

Musa berkata beliau telahpun menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan perkembangan itu.

Musa berkata Najib merakamkan rasa gembira dengan berita pembebasan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Zakia.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan negeri dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), beliau menyeru anggota keselamatan agar sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

Tegasnya ini bagi memastikan agar keselamatan dan keamanan Sabah dan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman keselamatan khususnya di kawasan perairan negara.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak manakala Zakia diculik oleh kumpulan berkenaan ketika mereka sedang menjalankan tugas rondaan di resort itu.

Ab Rajah terbunuh dalam kejadian itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.