#KitaLawan Program PKR Bukan Pakatan Rakyat, Kata Tuan Ibrahim

SHAH ALAM: Perhimpunan #KitaLawan pada hari ini tidak membabitkan PAS Pusat, justeru tidak timbul soal pimpinan parti memberi sebarang arahan kepada ahli bersabit tunjuk perasaan itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Menurut beliau tunjuk perasaan anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga tidak pernah dibentangkan pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat.

 

“Program ni tidak dibuat atas nama Pakatan Rakyat, program ni (dianjurkan) pemuda PKR jadi kita Pakatan pun tak tahu ada program tu. Jadi program tu memang tak pernah dibawa ke mesyuarat pemimpin Pakatan,” katanya kepada Antarapos.

 

Perhimpunan #KitaLawan petang ini sebagai bantahan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lim tahun ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas tuduhan meliwat bekas pembantunya.

 

Perhimpunan itu diharamkan oleh polis setelah AMK dikatakan gagal mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman untuk menganjurkan tunjuk perasaan berkenaan.

 

Semalam, pejabat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau mengeluarkan sebarang kenyataan meminta ahli PAS turun menyertai perhimpunan itu.

 

Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng juga memaklumkan PKR bahawa beliau tidak akan menyertai tunjuk perasaan itu kerana mempunyai aturcara membabitkan warga emas di Pulau Pinang.

 

Perkembangan itu menandakan sambutan suram rakan komponen Pakatan Rakyat terhadap usaha PKR menggembeling penyokong untuk menyertai tunjuk perasaan berkenaan di hadapan pusat membeli-belah Sogo Kuala Lumpur.

 

Tuan Ibrahim menegaskan ketidakhadiran pemimpin utama PAS dan DAP tidak harus disalah tafsirkan.

 

“DAP dan PAS tidak dimaklum awal, DAP pun buat kenyataan bukan untuk tak hadir tapi mereka dah ada program. Macam PAS pun masing-masing dah ada program dan jadual hari ini,” kata beliau

 

“Sebab kita tak dimaklum awal program tu. Tapi himpunan biasa yang dibuat di tempat-tempat lain kita bagi dan ada ahli pergi tapi bukan mobilisasi atas nama Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

 

Semalam Guan Eng mengarahkan semua ADUN Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak menyertai perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur hari ini.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, semua wakil rakyat terbabit perlu berada di kawasan masing-masing untuk mengagihkan bantuan RM100 untuk warga tua negeri itu.  – ANTARAPOS

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.