#KitaLawan Hadi Dan Guan Eng Sudah Lupakan Anwar?

Kuala Lumpur – Para penyokong parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan rakan sekutu DAP dan PAS yng dilihat seperti sudah melupakan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Ia ekoran dari sikap ‘lepas tangan’ pimpinan parti itu dalam himpunan #kitalawan yang akan diadakan pada petang ini.

 

Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam satu kenyataan semalam mengarahkan semua wakil rakyatnya berada di kawasan masing-masing esok, sekali gus tidak menyertai perhimpunan kemuncak #KitaLawan dijadual di hadapan kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

 

 

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat perlu berada di kawasan masing-masing untuk majlis Program Penghargaan Warga Emas.

 

 

Katanya, perhimpunan #KitaLawan hanya dianjurkan oleh sayap Pemuda, dan oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau harus memberi keutamaan kepada projek rakyat.

 

 

“Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan esok adalah pelancaran Program Penghargaan Warga Emas di semua kawasan. Semua wakil rakyat telah diarah supaya berada di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah skim perumahan awam dan mampu milik di Jalan SP Chelliah di sini hari ini.

 

 

Lim berkata, beliau sendiri juga mempunyai program di kawasannya di Air Putih pagi esok dan tidak akan menghadiri perhimpunan di Kuala Lumpur itu yang mahu diadakan oleh PKR bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

 

Sementara itu PAS pula dikatakan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada penyokong mahupun ahli parti itu untuk sama-sama menyertai himpunan tersebut.

 

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar yang dihubungi SuaraTV semalam.

 

PAS turut menafikan telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

 

Pihak polis pada 27 Februari lalu, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengikut lunas undang-undang untuk menganjurkan perhimpunan itu.dalam satu kenyataan sebelum ini memberi amaran akan menangkap peserta perhimpunan haram itu yang akan diadakan pada Sabtu ini di perkarangan Kompleks Membeli Belah Sogo.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah menegaskan, perhimpunan yang dianjurkan itu tidak mengikut lunas undang-undang.

 

Pada 15 Februari lalu, pada satu sidang media himpunan #KitaLawan, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, gerakan itu mengemukakan empat tuntutan termasuk agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dengan segera kerana didakwa terlibat dalam konspirasi politik perbicaraan kes Anwar.

 

Selain itu, mereka juga sedia menggembleng semangat dan anak muda Malaysia terus berjuang sehingga kerajaan Umno-BN tumbang, serta menuntut reformasi sistem kehakiman negara bagi menjamin kebebasan dan kewibawaan institusi kehakiman.

 

Manakala resolusi keempat mereka ialah menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat yang berjawatan dan yang mendapat mandat pada pilihan raya umum ke-13 lalu agar turut menyertai Himpunan Rakyat yang dijadualkan bulan depan.

 

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.