Ketua Komander Al-Nusra Terbunuh

Beirut – Seorang komander kanan Barisan al-Nusra terbunuh dalam satu serangan udara yang dilancarkan tentera kerajaan Syria.

 

Agensi berita kerajaan SANA melaporkan, Abu Hammam Al-Shami yang juga dikenali sebagai al-Farouq al-Suri terbunuh dalam satu operasi tentera khas di Wilayah Idlib, pada Khamis.

 

Al-Shami, seorang pemimpin veteran al-Qaeda dari Damsyik, Syria adalah Ketua Komander Barisan al-Nusra.

 

Minggu lalu, anggota kumpulan bersenjata itu mendakwa Al-Shami terbunuh dalam satu serangan dron Amerika Syarikat.

 

Namun, pada Khamis, Al-Shami dilaporkan terbunuh pada awal pagi semalam, ketika dia menghadiri perjumpaan dengan komander kanan al-Nusra yang lain.

 

Serangan udara pada Khamis itu berlaku, sehari selepas kumpulan berkenaan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan maut di ibu pejabat perisikan Tentera Udara Syria, di Aleppo.

 

Sementara itu, Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman turut memberitahu AFP, ketua komander itu mati akibat cedera parah, pada Khamis.

 

Jelasnya, Al-Shami mungkin adalah seorang daripada lima pemimpin al-Nusra yang cedera dalam satu serangan udara diketuai Amerika Syarikat di Wilayah Idlib, pada 27 Februari lalu.

 

Barisan al-Nusra adalah sekutu al-Qaeda.

 

Sumber-sumber rasmi al-Nusra bagaimanapun tidak mengumumkan kematian Al-Shami.

 

Satu kenyataan rasmi al-Nusra pada 27 Februari lalu memaklumkan, dua komandernya terbunuh dalam serangan di Wilayah Idlib itu, namun tidak menyebut nama Al-Shami.

 

Aktivis Syria, Ibrahim al-Idlibi memberitahu AFP, Al-Shami terbunuh dalam serangan itu, namun al-Nusra tidak mengumumkan namanya, disebabkan sensitiviti.

 

Al-Nusra muncul sebagai kumpulan pejuang paling berkuasa di barat laut Syria serta menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.

 

Al-Shami dilaporkan pergi Afghanistan pada lewat 1990-an dan dipertanggungjawabkan untuk memimpin pejuang Syria di sana.

 

Dia kemudiannya dipenjarakan di Lubnan selama lima tahun, sebelum pergi ke Syria dan menyertai Al-Nusra.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.