Jawatankuasa Pengurusan Bencana Siap Sedia Hadapi Kemarau – Muhyiddin

MUAR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bersiap sedia dengan pelbagai langkah bagi menghadapi cuaca panas berpanjangan dalam negara jika keadaan menjadi kritikal, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

 

Beliau, yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, meskipun belum sampai tahap kritikal, jawatankuasa itu sentiasa dimaklumkan mengenai keadaan terkini terutama oleh negeri-negeri yang terlibat.

 

 

“Setakat ini, Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) memaklumkan belum terjejas tetapi kalau trend ini (kemarau) kekal untuk dua bulan hingga Mei ini, contohnya, ia akan bawa kesan teruk, mungkin tanaman boleh terjejas,  bekalan air tak memadai akan membantut pertumbuhan tanaman dan kita bimbang kalau ia memberi kesan kepada bahan makanan dan (menjadi) sebab harga dan kos meningkat,” kata beliau.

 

 

Muhyiddin, yang juga anggota Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita selepas program Jalinan Mesra Wanita UMNO Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, di sini.

 

 

Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai persiapan jawatankuasa dalam menghadapi cuaca panas yang berpanjangan dalam negara.

 

 

Beliau berkata, pihaknya masih memantau keadaan itu dan mengingatkan agar orang ramai bijak dalam menggunakan bekalan air dan elektrik bagi mengurangkan beban sekali gus memulihara alam sekitar.

 

 

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata pekeliling kepada sekolah-sekolah mengenai tindakan ketika musim kemarau sudah diedarkan.

 

 

Bagaimanapun, ia terpulang kepada kebijaksanaan pengurusan sekolah untuk menangguhkan aktiviti luar di sekolah jika cuaca panas didapati boleh menjejaskan kesihatan pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.