Isu Drone: Berat Badan Yeng Nasir ‘Turun’ 6 Kg Kerana Risau

Kuala Lumpur – Penerbang drone yang menggemparkan negara dengan memuat naik gambar pesawat mendarat di KLIA di dengan nama samaran Yeng Nasir di Instagram dilaporkan turun berat badan sehingga enam kilogram (kg) akibat terlalu risau selepas mengetahui isunya mendapat perhatian pihak berkuasa.

 

Menurut sumber yang rapat dengan Yeng Nasir, dia tidak mengetahui perbuatan itu merupakan satu kesalahan sehingga dikecam hebat di media sosial selain dicari polis.

 

 

“Yeng sudah memberi kenyataan kepada polis pada Rabu lepas, dia juga sudah berjumpa pengurusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan memberi penjelasan yang diperlukan untuk membantu kelancaran kes.

 

“Bagaimanapun berat badannya turun enam kilogram, dia tidak lalu makan apabila tahu dia dicari, dia juga tidak tenang selepas mengetahui gambarnya di Instagram menjadi cemuhan banyak pihak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Yeng Nasir mencetuskan fenomena baru di media sosial dengan foto kemunculan sebuah drone yang diterbangkan berdekatan KLIA.

 

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terutama di media sosial, atas faktor keselamatan.

 

Drone jenis DJI Phantom 2 tersebut dikatakan mengambil beberapa gambar pesawat mendarat di KLIA, yang mana gambar-gambar itu telah dimuatnaik oleh pengguna di Facebook.

Gambar itu difahamkan telah dimuat naik ke Instragram kira-kira tiga bulan lalu oleh pengguna dikenali sebagai ‘yengnasir’.

 

Para pengguna di laman media sosial mempersoal dan menyelar tindakan individu itu kerana ia dikatakan boleh membahayakan pesawat jika terlanggar.

 

Bagaimanapun kata sumber itu, Yeng yang dikatakan sudah memuat naik gambar itu sejak Februari tahun lepas dan mendakwa sudah memadamkan gambar berkenaan kini berhadapan ‘ancaman’ baru iaitu kewujudan akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.

 

Drone Yengnasir

 

Lebih malang, akaun itu turut memuat naik gambar terbaharu yang diambil daripada drone dengan status ‘Baru balik dari ibu pejabat bukit aman, alhamdulillah dapat job untuk bekerjasama dengan pihak KLIA dan KLIA 2 untuk buat video promosi. Alhamdulilah,’.

 

“Jangan percaya akaun itu, ianya palsu dan tolong berhenti mengecam Yeng,” kata sumber itu.

 

Bagaimanapun pada Sabtu, Astro AWANI mendapati akaun itu sudah tidak lagi wujud.

 

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan akan berbincang dengan kerajaan agar Akta Penerbangan Awam 1969 dikaji semula.

 

Ia bagi memasukkan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron seberat 20 kilogram ke bawah diwajibkan memohon kebenaran penerbangan.

 

Azharuddin juga memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis berkenaan dengan isu berkenaan selain mengumumkan tiada sebarang kenyataan media mengenai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang menawarkan tawaran kerja kepada Yeng.

 

Mengikut peraturan DCA 2008, terdapat larangan ke atas penggunaan drone di bawah 20 kilogram di ruang angkasa terkawal atau dalam zon lapangan terbang kecil, melainkan mendapat kebenaran daripada unit kawalan trafik udara diperolehi.

 

Drone seperti itu juga tidak dibenarkan terbang dalam jarak 1.5 batu nautika atau 2.8 kilometer dari sempadan lapangan terbang tanpa kebenaran. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.