Hentikan Saja Perhimpunan Haram – Kelab Buskers Jalanan

Kuala Lumpur – Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) berharap penganjur perhimpunan #Kitalawan membatalkan demonstrasi jalanan yang dijadualkan berlangsung di ibu kota, hari ini.

 

Presidennya, Wady Hamdan berkata, MYBC menyarankan penganjur membatalkan perhimpunan itu, kerana ia akan mengganggu urusan dan aktiviti orang ramai di lokasi tumpuan.

 

“Perhimpunan seumpama ini sudah pasti mencemarkan keadaan aman dan makmur yang dikecapi semua pihak,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Menurutnya, pemuzik jalanan atau buskers sendiri berperanan memeriahkan bandaraya Kuala Lumpur, dengan menampilkan bakat seniman jalanan tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara.

 

“Aktiviti busking menjana sumber pendapatan baik kepada buskers. Kenapa perlu mereka adakan perhimpunan tersebut di tengah pusat bandaraya?

 

“Kenapa tidak diadakan sahaja di negeri-negeri pembangkang dan kenapa perlu menggugat aktiviti orang lain pula, dengan aktiviti mereka yang nyata tidak mendatangkan sebarang keuntungan,” katanya.

 

Beliau berkata, buskers sememangnya bersikap neutral dan tidak mewakili mana-mana parti politik.

 

Buktinya, program peringkat nasional, iaitu My Buskers Corner juga diadakan di Kelantan, atas permintaan golongan seniman jalanan di sana, tanpa mencampuradukkan sebarang fahaman politik.

 

“Busking kini menuju ke arah industri mampu maju dan sangat aktif di setiap negeri, termasuklah di Pulau Pinang dan Selangor.

 

“Oleh itu, pemuzik jalanan tetap menghormati hak orang ramai untuk membuat sebarang tindakan, tetapi kita kini membangkang apa sahaja yang melanggar peraturan dan undang-undang negara.

 

“Buskers sendiri adalah golongan kreatif, yang majoritinya terdiri daripada belia, bersikap neutral, selesa dan berterima kasih dengan segala sokongan yang diberikan kerajaan sekarang terhadap semua aktiviti kami.

 

“Kerajaan juga sudah mengiktiraf buskers sebagai tarikan pelancongan yang mempamerkan kebebasan gaya hidup, memberi ruang menunjukkan bakat secara lebih dekat kepada masyarakat, selain aktiviti sosial sihat dan mampu membentuk pembangunan belia secara positif,” katanya.

 

Pada masa sama, Wady turut menasihatkan buskers supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.

 

“Buskers yang sedang ‘cari makan’ di sekitar ibu kota pada Sabtu, janganlah terlibat dengan perhimpunan tersebut dan perlulah berhati-hati agar barangan atau peralatan muzik mereka tidak berada di situasi berisiko.

 

“MYBC juga akan memastikan tidak ada mana-mana buskers yang menyertai perhimpunan haram itu.

 

“Buskers ada hak untuk terus menghiburkan orang ramai, kerana golongan itu mempunyai permit sah,” katanya.

 

Dalam pada itu, Wady menegaskan, belia yang berminat dengan politik harus menceburi politik melalui cara bijak dan secara sihat.

 

“Hanya kerana retorik politik yang tidak pasti, kenapa perlu merisikokan diri dengan melibatkan diri dalam perkara yang melanggar undang-undang.

 

“Tanya diri sendiri, apa sumbangan sebagai rakyat yang sayangkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

 

Dengan mengambil contoh buskers, Wady memberitahu, kumpulan itu sekurang-kurangnya mempunyai peranan tersendiri, tanpa perlu membabitkan diri dalam ketaksuban politik.

 

“Jangan terlalu taksub dengan ‘politik tak pasti’, hanya kerana kepentingan individu dengan menampilkan ekspresi ‘ketidakpandaian diri’ dan berisiko,” jelasnya.

 

Tambahnya, anggota polis juga perlu bersikap tegas, bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin. The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.