Fad Bocey Nikah Adik Angkat Jehan

Perkenalan selama dua tahun antara pelawak kumpulan Bocey, Fad dengan adik angkat kepada pelawak Jehan Muse iaitu Nur Syahirah A. Rahman 21, akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin pada 14 Mac ini.

 

Berkongsi lanjut hari istimewa itu, Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, 24, menyatakan majlis pertunangan diadakan pada waktu pagi disusuli akad nikah.

 

Kedua majlis berkenaan akan diadakan di rumah pihak perempuan di Jitra, Kedah. Selain majlis resepsi juga akan diadakan di Dewan Tun Raha, Kuala Lumpur pada 23 Mei depan.

 

Katanya, pada awal memang sukar dia mahu mengambil hati kekasihnya itu biarpun beberapa kali hasrat mahu berkawan rapat dengan penuntut jurusan TESL (Teaching English as a Second Language) di Management & Science University (MSU) ini.

 

Namun, dia tidak berputus asa sehingga memberanikan diri melamar gadis itu pada Oktober tahun lalu.

 

“Saya kenal dia dua tahun selepas Maharaja Lawak Mega. Masa itu dia ikut kakak angkat dia, Jehan Muse.

 

“Dari situlah saya kenal dia tetapi sebenarnya Jehan tak suka saya mengorat adik angkat dia.

 

“Namun, saya tetap juga mengorat dia. Susah sebenarnya nak tawan hati dia dan banyak kali saya kena ‘reject’ tetapi akhirnya dia terima dan kami berkawan,” katanya.

 

Fad berkata, dia sememangnya berhasrat terus bernikah semenjak mengikut bakal isterinya itu balik ke kampung.

 

“Alhamdulillah keluarga dia menerima dan melayan saya dengan baik.

 

“Sewaktu hari jadi dia pada bulan Oktober tahun lalu saya betul-betul cakap pada dia yang saya mahu kahwin dengan dia,” katanya ketika ditemui pada sidang media Lawak Ker Der 2015 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

 

Meskipun dia dan bakal isterinya masih muda, Fad menyatakan mereka sudah bersedia mengharungi alam rumah tangga dan menggalas tanggungjawab sebagai suami isteri.

 

“Saya rasa diri saya memerlukan seseorang untuk menjaga saya. Kami berdua sebenarnya berjauhan daripada keluarga,” katanya.

 

Sementara itu, Syahirah yang turut hadir pada majlis tersebut ketika ditanya tarikan Fad, dia menyatakan kesungguhan pelawak itu tidak jemu-jemu cuba mengambil hatinya membuatkan dia yakin untuk menjalinkan hubungan cinta.

 

“Mula-mula memang saya tidak suka pada dia tetapi dia selalu mesej saya. Kesungguhan dia itu yang membuka hati saya untuk terima dia,” tuturnya yang turut memberitahu menangguhkan pengajian selama 6 bulan untuk menguruskan persiapan perkahwinan.

 

Sungguhpun menyedari bakal suaminya itu seorang selebriti, Syahirah mengakui dirinya seorang yang cemburu.

 

“Saya sudah bersedia menempuh hidup sebagai seorang selebriti tetapi saya akui seorang yang kuat cemburu,” katanya tersenyum sambil melirik ke arah Fad.

 

Dalam perkembangan lain, Fad bersama kumpulannya Bocey terdiri daripada dua lagi anggota, Abam dan Aceh, akan menjayakan persembahan Lawak Ke Der 2015 yang akan diadakan di Istana Budaya pada 16 hingga 19 April depan.

 

Selain Bocey, barisan pelawak hebat yang akan turut beraksi kali ini adalah Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim dan bakat baru, Redza Mukmin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.