Ahli Kongsi Gelap Maut Ditembak

Shah Alam – Seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap Geng 18, mati dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota polis di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, pagi semalam.

 

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, lelaki berumur 37 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry bertindak merempuh kenderaan polis serta melepaskan beberapa das tembakan sebelum memecut kenderaannya.

 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat berkata, kenderaan dipandu suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sewaktu anggota polis terbabit melakukan rondaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Tamil Ladang Emerald.

 

“Polis cuba meminta kereta yang dipandu suspek untuk tujuan pemeriksaan, namun dia bertindak melepaskan tembakan dan memecut kenderaannya ke Lebuhraya Kesas dan keluar di persimpangan Hicom.

 

“Kenderaan dinaiki suspek terus diekori polis sehingga ke Kampung Baru Hicom,” katanya.

 

Beliau berkata, sejam selepas itu, polis berjaya mengesan kenderaan suspek yang diletakkan berhampiran sebuah kedai besi buruk.

 

“Polis mengepung kawasan terbabit dan suspek bertindak melepaskan tembakan. Polis membalas tembak dan suspek mati di tempat kejadian,” katanya.

 

Abu Samah berkata, turut dijumpai bersama suspek sepucuk senjata jenis revolver bersama beberapa butir peluru.

 

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau di bawah Ordinan Darurat dan disyaki terlibat dalam beberapa kes bunuh di Selangor dan merupakan ahli kongsi gelap,” katanya.

 

Mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

 

Dalam pada itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

 

“Salah seorang ditahan ketika sedang memandu kereta suspek, keluar dari kedai besi buruk,” katanya. – SinarHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.