Tentera Iraq Biarkan Mayat Militan IS Mereput Sebagai Perang Psikologi



MOSUL – Mayat militan IS terbiar mereput di sepanjang jalan utama utara Mosul sejak 2 minggu lalu, tetapi askar Iraq tidak berhasrat untuk mengebumikan mereka.

 

Askar Iraq berharap seramai mungkin orang melihat tubuh mayat yang hitam, musnah akibat letupan bom dan tembakan peluru.

 

Ketika tentera Iraq bersiap sedia meluaskan serangan terhadap IS dari timur dan barat Mosul, mereka mahu menyahkan sebarang simpati terhadap kumpulan itu, yang mendapat sokongan penduduk semasa merampas bandar itu pada 2014.

 

“Kita akan biarkan mayat-mayat di situ,” kata Ibrahim Mohamed, seorang askar yang berdiri berdekatan 3 mayat militan, tidak menghiraukan bau yang menusuk.

 

Saudaranya mati akibat kejutan elektrik di tangan militan semasa IS memerintah Mosul kerana beliau seorang anggota polis.

 

“Ini pesanan yang jelas kepada rakyat Iraq, untuk menghalang mereka menyertai atau menyokong IS. Ini nasib kamu. Askar Iraq akan bunuh kamu,” katanya.

 

Tali pinggang pengebom berani mati, dengan pin peledak masih tersemat, terbiar di atas jalan beberapa kaki dari situ, berdekatan pakaian yang pernah dipakai seorang militan.

 

Mayat yang bergelimpangan menjadi senjata psikologi melawan sel IS yang bersembunyi, yang menurut pegawai kerajaan tersebar di serata negara itu.

 

“Kami biarkan mereka di tepi jalan supaya jadi makanan anjing,” kata seorang askar Asaad Hussein. “”Kami mahu rakyat tahu ini harga yang perlu dibayar kalau menyokong pengganas.”

 

Pengikut aliran Sunnah Wal Jamaah di Mosul menuduh kerajaan Baghdad yang dipimpin pengikut aliran Syiah dan tentera menyalahgunakan kuasa secara meluas, dakwaan yang dinafikan mereka.

 

IS mengambil kesempatan daripada kemarahan itu tetapi mulai hilang sokongan selepas mengenakan tafsiran Islam yang radikal serta menembak atau memenggal mereka yang dianggap musuh.

 

Rakyat Iraq nampaknya tidak menghiraukan mayat yang bergelimpangan, dan orang ramai lalu lalang setiap hari ketika Mosul memulakan usaha membina semua kawasan kejiranan yang musnah akibat serangan bom kereta IS dan pengeboman udara AS.

 

Seorang buruh, Youssef Salim memerhatikan mayat disitu, yang masih memakai but askar pada kaki masing-masing, dan mengimbau kehidupannya di bawah IS.

 

Beliau tidak mahu semua mayat itu dialihkan.

 

“Kamu tahu apa maknanya sebatang rokok?” soal Youssef. “Dua puluh lima sebatan di khalayak ramai yang dipaksa tengok kamu menderita.”

 

“Kalau janggut tak menepati syarat yang mereka tetapkan, 1 bulan penjara dan 100 sebatan di khalayak ramai.” – Reuters



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.