Penerbangan Paling Jauh Berakhir Di Auckland

WELLINGTON  – Penerba­ngan komersial paling jauh jaraknya di dunia yang dilakukan oleh Qatar Airways dari Doha ke Auckland, selamat mendarat awal pagi ini selepas menempuh perjalanan sejauh 14,535 kilometer.

 

Penerbangan menggunakan pesawat Boeing 777-200LR itu berjaya melintasi 10 zon masa sebelum mendarat pada pukul 7.25 pagi waktu tempatan, lima minit lebih awal daripada jadual asalnya.

 

Pesawat seperti mana kebiasaan disambut meriah dengan pancutan air di Lapangan Terbang Auckland sejurus ketibaannya.

 

“Kami mendarat di Auckland bersama-sama empat juruterbang serta 15 anak kapal,” jelas Qatar Airways menerusi laman Twitter rasminya.

 

Penerbangan maraton QR920 itu memakan masa selama 16 jam 23 minit, lebih lama berbanding keseluruhan durasi filem trilogi Lord of the Rings dan The Hobbit yang menjalani penggambaran di New Zealand.

 

Menurut Qatar Airways, hampir sejumlah 1,100 cawan teh dan kopi, 2,000 cawan minuman sejuk dan lebih 1,036 set makanan dihidangkan sepanjang penerbangan itu.

 

Sebelum ini syarikat Air India mendakwa penerbangan dari Delhi ke San Francisco merupakan yang paling jauh di dunia mengikut jarak terbang tetapi apabila diukur pada permukaan bumi, penerbangan dari Doha ke Auckland berjaya mengatasinya.

 

Menteri Perdagangan New Zealand, Todd McClay berkata, impak ekonomi menerusi perkhid­matan baharu itu dianggarkan mencecah hampir AS$36 juta (RM159.26 juta). – AFP/utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.