PAS Kedah Tolak Kerjasama Dengan Umno

PAS Kedah hari ini menolak hasrat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk menjalin kerjasama dengan parti itu.

 

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, parti itu melihat tawaran kerjasama berkenaan dibayangi kelicikan muslihat politik Umno.

 

“PAS ingin menyarankan kepada Umno/BN yang menunjangi kerajaan Kedah hari ini supaya memberi perhatian penuh kepada kebajikan rakyat akibat daripada polisi-polisi mereka yang membebankan rakyat seperti rasionalisasi harga petrol dan diesel, sistem percukaian GST serta kegagalan mengawal harga barangan keperluan harian.

 

“Kerajaan negeri juga belum dapat menamatkan kegusaran rakyat berhubung masalah bekalan air bersih, ancaman perjanjian dengan operator air yang berat sebelah serta kerisauan terhadap tanah bersejarah dan “green belt” dalam bandar yang mahu dikomersialkan.

 

“Hal tersebut sewajarnya yang perlu jadi keutamaan kerajaan berbanding percaturan politik kepartian,” katanya seperti yag dipetik dalam portal Harakahdaily.

 

Alih perhatian agihan RM30 juta

 

Ahmad Bashah yang juga adalah menteri besar Kedah berkata, kerjasama yang terjalin seperti dalam misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ yang berlepas baru-baru ini melambangkan penyatuan ummah di Malaysia berikutan terdapat wakil Umno dan PAS dalam misi berkenaan.

 

Bagaimanapun, katanya, kerjasama itu mesti bermula di peringkat pusat terlebih dahulu.

 

Ahmad Fakhruddin berkata PAS melihat kenyataan Ahmad Bashah sebagai usaha untuk mengalih perhatian daripada membincangkan soal agihan RM30 juta bagi kawasan parlimen dimenangi Umno/BN.

 

“Ahli-ahli Umno akar umbi mula bertanya ke manakah peruntukan itu disalurkan dan bagaimana dibelanjakan?

 

“Sehingga kini jumlah yang terlalu besar itu belum terjelma dalam bentuk pembangunan atau kebajikan rakyat,” katanya.

 

Pada Ahad lalu, Ahmad Bashah berkata pihak pembangkang tiada sebab untuk mempersoalkan pemberian peruntukan kepada kawasan Parlimen yang diwakili BN di Kedah.

 

Katanya, pembangkang perlu faham bahawa peruntukan yang disediakan itu adalah hanya untuk anggota Parlimen daripada BN manakala pihak pembangkang perlu mencari dana atau peruntukan sendiri.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin berkata, PAS sedang memberi fokus mengangkat suara rakyat Kedah, di samping menyelami permasalahan yang dihadapi mereka saban hari melalui setiap ruang dan peluang yang ada.

 

“Bagi kami, sebarang percaturan politik kepartian mestilah meletakkan keutamaan Islam yang memimpin,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.