‘MRSM Berbayar’ Alasan Kurangkan Peruntukan?

Cadangan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar dipandang sinis sebuah kumpulan pelajar.

 

Kumpulan yang menamakan diri Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) itu mendakwa, usaha itu jika menjadi kenyataan hanya akan “memperkasakan kedudukan pendidikan sebagai komoditi”.

 

Mereka juga bimbang ia akan dijadikan alasan kerajaan untuk mengurangkan peruntukan pendidikan.

 

“MARA terpesong daripada idea asalnya ditubuhkan untuk menjaga kebajikan warga terpinggi, bukan untuk golongan berkemampuan,” menurut kumpulan itu dalam memorandum lima halaman.

 

Ia diserahkan oleh Timbalan Pengerusi MARA Datuk Ibrahim Ahmad di ibu pejabat majlis itu di Kuala Lumpur.

 

GMPP diwakili empat pelajar institut pengajian tinggi daripada Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Petronas dan Brickfields Asia College.

 

Sementara itu, seorang pemimpin kumpulan itu Sharan Raj memberi amaran akan menganjurkan demonstrasi bantahan jika gesaan mereka diabaikan.

 

“Kita akan ikuti perkembangan isu ini dari minggu ke minggu,” katanya yang juga anggota Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 
Bagaimanapun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kewujudan MRSM berbayar akan membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk terus belajar.

 

Katanya, MRSM untuk pihak berkemampuan akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah kerana tidak perlu berebut tempat.

 

Namun cadangan tersebut masih di peringkat kajian awal dan belum dibawa ke mesyuarat Majlis MARA, serta belum dirujuk kepada kementerian untuk kelulusan.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.