Kutu Suka Hidup Di Kepala Bersih, Wangi

 

Jangkitan kutu bukan masalah baharu di dunia bahkan dipercayai telah bermula sejak enam juta tahun dahulu.

 

Kutu merupakan parasit penghisap darah dalam kumpulan serangga. Kutu kepala atau pediculus humanus capitis bergantung sepenuhnya kepada manusia untuk hidup.

 

Ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. ‘Azlin Muhammad @ Mohd. Yasin berkata, kutu tidak mengenal mangsa, petik Kosmo.

 

Namun, jangkitan tertinggi di Malaysia membabitkan kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun kerana pada usia itu, mereka mempelajari cara bersosial dan saling bergaul rapat.

 

“Sebenarnya, epidemiologi (kajian tentang penyakit epidemik) kutu di negara ini sangat tinggi. Penyelidikan yang kami lakukan di sekolah-sekolah rendah baru-baru ini mendapati satu daripada sepuluh kanak-kanak di Malaysia dijangkiti kutu. Masalah kutu sentiasa ada, tidak kira sama ada di kampung mahupun di kawasan urban.

 

“Kadar jangkitan lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di asrama dan ia boleh meningkat kepada 35 peratus,” katanya lagi.

 

Menurut Azlin, seekor kutu hanya mempunyai jangka hayat selama 30 hari, namun mampu bertelur lapan hingga 10 biji pada setiap hari

 

“Bayangkan, itu baru seekor kutu. Kalau sehari seekor boleh bertelur sebanyak itu, dalam sebulan kalau tidak menjalani rawatan apa-apa, tidak mustahil ada ribuan kutu atas kepala manusia.

 

“Ramai orang fikir kutu boleh terbang atau melompat untuk menjangkiti orang lain, sebaliknya ia hanya merayap dengan perlahan mencari perumah kerana ia tidak bersayap,” katanya.

 

Tambahnya, kutu mempunyai saiz sekecil bijan berwarna coklat atau kelabu. Namun, identifikasi kehadiran kutu pada seorang manusia juga boleh dilihat pada kemerahan di kawasan belakang telinga dan tengkuk.

 

“Ini kerana kutu gemar mendiami rambut berhampiran tengkuk dan telinga berikutan ia lebih terlindung. Jika ternampak ruam di kawasan itu, ia mungkin kerana gigitan kutu. Selain itu, jika terdapat tompok-tompok hitam atau daki di kawasan itu, ia menunjukkan adanya sisa-sisa najis kutu,” katanya.

 

Menurutnya lagi, golongan yang berisiko ialah mereka yang kerap bersentuhan secara langsung, beraktiviti bersama dan berkongsi barangan seperti tuala dan sikat rambut.

 

“Mereka yang berambut panjang dan kerinting lebih berisiko dijangkiti kutu. Bagaimanapun, kutu boleh menjangkiti siapa sahaja yang berambut. Ia memerlukan rambut untuk berpegang pada perumah semasa ia menghisap darah di kepala. Anak kutu yang baru menetas atau nimfa juga boleh terus menghisap darah.

 

“Kutu lazimnya tidak membawa kepada masalah kesihatan yang serius, namun lebih kepada masalah psikologi dan sosial apabila mereka berasa malu kerana dipinggirkan serta hilang keyakinan diri.

 

“Masalah kesihatan yang serius hanya boleh berlaku jika menggaru kepala yang gatal sehingga terluka lalu dimasuki bakteria,” katanya.

 

Dalam pada itu, Azlin turut memperbetulkan stigma masyarakat yang menganggap mereka yang berkutu sebagai pemalas, pengotor atau tidak menjaga kebersihan.

 

Katanya, kutu tidak mengenal pangkat atau darjat. Rambut yang kotor atau bersih. Bahkan, ada kajian di Barat yang menunjukkan kutu lebih suka hidup di rambut dan kepala yang bersih.

 

Mengenai rawatan kutu pula, ‘Azlin berkata, antara kaedah yang murah tetapi berkesan ialah dengan membeli ubat-ubat kutu di farmasi dan menggunakan sikat kutu.

 

“Ubat kutu dilumur pada rambut dan ia boleh mematikan ibu serta anak kutu. Cuma, ia tidak boleh membunuh telur-telur kutu. Telur kutu mengambil masa selama tujuh hari untuk menetas. Oleh itu, lakukan sekali lagi selepas seminggu. Gunakan sikat kutu untuk membersihkan rambut daripada kutu yang telah mati atau lemah.

 

“Lepas disikat, kutu-kutu yang ditemui itu perlu dimatikan dengan menekan ia dengan kuku atau dengan membasuh sikat menggunakan air panas. Namun, jika mahukan rawatan yang lebih cepat tetapi mahal pun tiada halangan. Sekarang sudah ada pusat rawatan kutu yang menggunakan haba kerana pada suhu 60 darjah Celsius, semua peringkat kutu akan mati,” katanya mesin itu hanya boleh dikendalikan oleh pakar yang terlatih.

 

Sementara itu Pengusaha Pusat Rawatan Kutu, Lice Ninja Taman Melawati, Kuala Lumpur, Mariah Mohd. Noh, 42, berkata, mereka menggunakan teknologi mesin dari Amerika Syarikat (AS).

 

Memandangkan rawatan seumpama itu sukar didapati, pelanggan Mariah datang dari seluruh negara termasuk luar negara misalnya dari Emiriyah Arab Bersatu dan Australia.

 

“Insya-Allah, mesin LouseBuster yang menggunakan kawalan udara panas akan membunuh kutu termasuk telur-telurnya. Tidak kira sama ada serius atau tidak, teknik rawatan yang kami lakukan adalah sama.

 

“Kami juga menjual sikat kutu dari AS,” kata Mariah yang mengusahakan pusat rawatan itu bersama suaminya, Ahmad Zulkhairi Ghazali, 42, yang bertanggungjawab merawat pengunjung lelaki.

 

Mariah berkata, berdasarkan pengamatannya, mereka yang bermasalah kutu mempunyai rambut yang bersih dan wangi, sekali gus menunjukkan bahawa mereka bukan pengotor.

 

“Sepanjang kami mengusahakan pusat ini sejak tiga tahun lalu, kebanyakan mereka terdiri daripada wanita.

 

“Namun, sesuatu yang mengejutkan apabila pelanggan yang mempunyai masalah kutu paling serius ialah seorang lelaki muda,”ujarnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.