Ku Nan Kini Dakwa Semua Kaum ‘Dipinggirkan’ Di Pulau Pinang

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendakwa bahawa bukan sahaja orang Melayu yang dipinggirkan di bawah pentadbiran negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP.

 

Sebaliknya, kata beliau, di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng, semua kaum diketepikan.

 

“Bukan Melayu saja dipinggirkan. Semua bangsa dipinggirkan di Pulau Pinang!

 

“Dia pilih bangsa Melayu saja. Saya kata semua bangsa. Kalau kita di Wilaya Persekutuan boleh pastikan harga rumah berpatutan kepada rakyat, kita pastikan kita nak kurangkan kekangan hidup warga Wilayah.

 

“Masalah harga naik lain-lain. Dia (DAP) makan cili dia rasa pedas,” kata Tengku Adnan kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina kementeriannya di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

 

Beliau mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadapnya awal hari ini oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berhubung kenyataannya bahawa ‘Melayu terabai di Pulau Pinang’ .

 

Lim membuat laporan itu berdasarkan kenyataan Tengku Adnan yang dipetik agensi berita nasional Bernama pada Sabtu lalu sebagai berkata “Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu.”

 
Menurut Tengku Adnan, beliau sedia memberikan keterangan kepada polis berhubung kenyataannya itu.

 

“Polis akan datang kepada saya atau saya akan datang jumpa mereka untuk beri kenyataan. Tiada masalah, ” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.