Israel Tahan Wartawan Palestin Tanpa Bicara

BAITULMAQDIS – Tentera Israel mengarahkan seorang wartawan Palestin ditahan semula tanpa perbicaraan selama enam bulan, selepas dibebaskan kurang setahun susulan tindakannya mengadakan mogok lapar berpanjangan.

 

Mohammed al-Qiq, 34, dibebaskan pada Mei tahun lalu daripada hukuman penjara enam bulan tanpa perbicaraan berikutan mogok lapar selama 94 hari.

 

Agensi Keselamatan Israel, Shin Bet berkata, wartawan itu ditahan semula bulan lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan militan Hamas melawan Israel, termasuk melemahkan pentadbiran Palestin di Ramallah.

 

Pada Isnin, isterinya, Fayha Shalash berkata Qiq memulakan mogok lapar sekali lagi dan ia disahkan pihak penjara tanpa menyatakan bila ia bermula.

 

Undang-undang penahanan pihak berkuasa Israel yang menjadi kontroversi, membenarkan suspek ditahan tanpa perbicaraan selama enam bulan dan boleh diperbaharui bila-bila masa.

 

Menurut tentera, Qiq ditahan semula untuk tempoh enam bulan tanpa dibicarakan di mahkamah, berdasarkan dakwaan pasukan perisikan dia masih aktif dalam militan Hamas dan mengancam keselamatan rakyat Israel.

 

Qiq pernah dihukum penjara sebulan pada 2003 dan 13 bulan pada 2004 atas tuduhan yang sama. Pada 2008, dia dipenjara 16 bulan atas tuduhan berkaitan dengan aktiviti majlis pelajar di Universiti Birzeit Tebing Barat. – AFP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.