Golongan Sayangkan AS Tidak Dihalang Masuk

FLORIDA – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berikrar akan membenarkan hanya golongan yang “mahu menyayangi negara kami” masuk ke negara itu, tindakan yang dilihat cuba mempertahankan arahan sekatan perjalanan yang diperkenalkannya.

 

Trump berkata demikian ketika lawatan pertamanya ke ibu pejabat Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat.

 

“Kita memerlukan program mantap supaya hanya orang yang mengasihi dan mahu cintakan negara kita serta akhirnya menyayangi negara kita dibenarkan berada di negara ini.

 

“Mereka yang mahu memusnahkan negara kita tidak dibenarkan masuk. Kebebasan, keselamatan dan keadilan diutamakan.

 

Kita akan mengalahkan keganasan kumpulan radikal dan tidak membenarkan ia berakar umbi di negara kita,” kata Trump.

 

Beliau mengulangi sokongannya kepada negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ketika berucap di hadapan pegawai tinggi dan tentera sambil mengaitkan ucapannya dengan isu keselamatan negara, ketika mahkamah menangguh arahan sekatan perjalanan terhadap tujuh negara Islam.

 

Bagaimanapun, beliau tidak menyentuh langsung mengenai rayuan di mahkamah persekutuan selepas mahkamah rendah menggantung sementara larangan itu. – AP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.