Cemburu Punca Ezlynn Berhenti Ikuti Instagram Suami

KUALA LUMPUR: Rasa cemburu melihat aktiviti percutian suami, Adam Fahmy, membuatkan penyanyi, Ezlynn, 35, bertindak untuk tidak mengikuti Instagram lelaki terbabit.

 

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya yang tidak lagi menjadi pengikut laman sosial bergambar Adam, yang juga pengurusnya, baru-baru ini.

 

“Oh, tak ada apalah. Saya cuma cemburu dengan aktiviti percutiannya di Melbourne, hujung tahun lalu. Jadi saya memilih untuk tidak melihatnya,” katanya kepada BH Online.

 

Ezlynn turut menafikan khabar angin mengatakan rumah tangga yang dibina bersama Adam sejak November 2011 goyah dan kedua-duanya dikatakan tidak lagi tinggal bersama. “Kami masih bersama. Tiada cerita apa pun nak dikongsi membabitkan kami,” katanya ringkas.

 
Khabar angin mengenai keretakan mahligai pasangan terbabit mula diperkatakan sejak beberapa bulan lalu apabila Ezlynn sering dilihat tampil sendirian tanpa suaminya itu.

 

Lebih menimbulkan tanda-tanya apabila pasangan terbabit dilihat jarang memuat naik gambar mereka bersama ke laman sosial, sejak akhir-akhir ini.

 

Dalam perkembangan lain, Ezlynn kini semakin giat mempromosikan tudungnya di bawah jenama, Halus by Ezlynn.

 

“Sejak dua tahun lalu saya hanya menjual tudung ini untuk adik-beradik. Kemudian, kawan mereka pula berminat untuk mendapatkannya.

 

“Tudung berkenaan adalah hasil jahitan tangan saya sendiri kerana saya memang minat menjahit. Kini, saya mula mempromosikannya untuk pasaran pula.

 

Begitupun, koleksi ini agak terhad, jadi siapa cepat dialah yang dapat,” katanya. Mengenai kerjaya seni, Ezlynn merancang untuk mengeluarkan sebuah single berentak rock bersama sentuhan Tam Spider.

 

“Kami sudah pun berbincang dan saya dalam proses memilih lagu yang sesuai untuk tujuan itu. Tam yang menyarankan saya untuk menyanyikan lagu rock kerana tidak ramai artis wanita yang muncul dengan genre terbabit buat masa ini,” katanya.

 

Sementara itu, usaha BH Online untuk menghubungi Adam tidak berjaya. Malah, akses penulis di WhatsApp miliknya juga sudah disekat.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.