Bekas Perogol Bersiri Pulang, Kini Menetap di KL

Bekas perogol bersiri yang telah meringkuk 24 tahun di penjara, atas pelbagai jenayah seks dan peras ugut terhadap beratus-ratus wanita. tiba di Malaysia selepas lebih 3 dekad di Kanada.

 

Portal FMT melaporkan, Selva Kumar Subbiah, 56, diiringi tiga pegawai polis Kanada dan disambut abangnya.

 

“Dia akan berada di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Pulau Pinang seperti diperkatakan sebelum ini,” kata seorang kenalan rapat dengan ahli keluarga itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA)pagi ini.

 

FMT turut melaporkan bekas banduan itu dikawal rapat sehingga ke rumahnya di Kuala Lumpur.

 

Selva Kumar tiba pada jam 7.30 pagi tadi dengan pesawat Qatar Air QR0488 dari Doha, selepas melakukan pertukaran penerbangan dari Kanada.

 

Lelaki itu dilaporkan berasal dari Bukit Mertajam di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Kanada untuk melanjutkan pelajaran.

 

Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atasnya selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.

 

Seentara itu, portal The Star Online pula melaporkan Selva Kumar akan dihalang daripada memasuki Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

 

Sambil menyifatkan Selva Kumar sebagai “individu berisiko tinggi,” Musa berkata bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkannya sebagai ‘persona non grata’ kerana boleh menimbulkan bahaya kepada orang ramai, terutama wanita dan kanak-kanak.

 
“Kita tidak boleh mengambil risiko dengan adanya seorang individu seperti itu yang bebas berkeliaran.

 

“Kita mesti melindungi rakyat kita,” kata Musa dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, arahan untuk menghalang Selva Kumar itu telah dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen negeri dan akan dikuatkuasakan dengan serta-merta.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.