20 Ular Ditangkap Lepas Banjir Surut

SEGAMAT – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat menangkap hampir 20 ular pelbagai jenis hasil aduan masyarakat setempat selepas banjir yang melanda daerah berkenaan mula surut.

 

Pegawai APM Segamat, Mohd Nazlan Ruslan, berkata reptilia itu ditangkap pihaknya berhampiran kediaman mangsa banjir di sekitar daerah berkenaan sejak 24 Januari lalu.

 

“Selepas banjir mula surut, APM Segamat menerima banyak aduan daripada mangsa berikutan penemuan reptilia berkenaan berhampiran kediaman mereka di pelbagai kawasan di daerah ini, antaranya ular sawa dan ular tedung selar.

 

“Kemungkinan disebabkan habitat reptilia berkenaan di kawasan paya dan semak dinaiki air, ia mencari lokasi baharu, antaranya berhampiran kawasan kediaman penduduk,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Daerah Segamat di Jalan Omar di sini, hari ini.

 

Mohd Nazlan berkata, pihaknya kemudian menyerahkan reptilia berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Segamat, di sini.

 

“Antara lokasi penemuan reptilia berkenaan ialah di sekitar Batu Anam dan Kampung Jawa Segamat, malah ada seekor ular sawa berukuran kira-kira empat meter dengan berat hampir 75 kilogram dijumpai dalam jaring ikan penduduk,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.