Virus Zika : Elak Bercium, Seks

RIO DE JANEIRO – Pihak berkuasa kesihatan Brazil dan Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran virus Zika bawaan nya­muk berkemungkinan boleh disebarkan melalui hubungan seks mahupun ciuman.

 

Pusat penyelidikan utama Brazil, Institut Fiocruz di Rio de Janeiro memaklumkan, virus tersebut telah dikesan dalam sampel air kencing dan air liur pesakit.

 

Saintis menjelaskan, meskipun belum ada bukti kukuh virus tersebut boleh dipindahkan melalui cecair badan tetapi orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga khususnya dalam kalangan wanita mengandung.

 

“Elakkan berkongsi cawan, peralatan makan dan kurangkan hubungan dengan individu yang mempunyai gejala jangkitan. Elakkan daripada bercumbu.” kata Pengarah Institut Fiocruz, Paulo Gadelha (gambar kecil).

 

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di AS pula menyeru orang ramai menggunakan kondom atau mengelak mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang tinggal atau pernah mengunjungi kawasan jangkitan Zika.

 

Awal minggu ini, pihak berkuasa AS mengesahkan kes penyebaran Zika pertama melalui hubungan seks melibatkan seorang individu yang melawat Venezuela sebelum menjangkiti pasangannya di Texas selepas dia pulang.

 

Pihak berkuasa di Puerto Rico pula mengumumkan kecemasan kesihatan selepas seorang wani­ta mengandung dijangkiti Zika, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di pulau tersebut sebanyak 22 orang.

 

Di Bogota, Institut Kesihatan Kebangsaan Colombia mengumumkan tiga orang mati di negara itu selepas dijangkiti virus Zika yang membawa kepada masalah saraf dikenali sebagai Sindrom Guillain-Barre.

 

Sindrom itu menyebabkan sistem imuniti badan menyerang sistem saraf sendiri dan dilaporkan meningkat sejajar dengan penularan wabak Zika, menimbulkan persoalan sama ada antara gejala baharu jangkitan virus tersebut. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.