Rumah Ditimpa Tujuh Pokok

PANGKOR – Seorang suami tidak menyangka telahan hati mengatakan rumah akan ditimpa musibah ternyata benar apabila beberapa pokok tumbang menimpa kediamannya, malam Khamis lalu.

 

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, bahagian dapur kediaman milik Rini Japar, 33, di Kampung Masjid musnah apabila empat pokok getah, dua pokok pinang dan sebatang pokok kelapa tumbang menghempap rumahnya.

 

Bagaimanapun ketika kejadian, semua ahli keluarga tiada di rumah dan bermalam di kediaman ibu mentua.
Rini berkata, petang sebelum kejadian, ada pokok getah tumbang ke arah pokok rambutan yang berada di belakang rumah.

 

“Sejak itu, hati saya tak tenang macam akan ada sesuatu berlaku, sebab tu saya suruh isteri dan anak tidur rumah mak mentua sebab saya kerja malam,” katanya.

 

Rini berkata, tindakannya mengarahkan isteri dan anak tidur di rumah ibu mertua telah menyelamatkan mereka dari ditimpa bencana terbabit.

 

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat, mana yang rosak tu tak mengapa akan dibaiki secara berperingkat,” katanya.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Nor Mazlan Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.56 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

 

“Kemusnahan dianggarkan 40 peratus dari keseluruhan bahagian membabitkan dapur, ketika kejadian, rumah berkenaan ditinggalkan tanpa penghuni. Operasi tamat jam 2.48 pagi,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.