Kritik Pimpinan Parti, Ahli Parlimen dan ADUN DAP Digantung Keahlian

KUALA LUMPUR – DAP Pusat semalam mengambil tindakan menggantung keahlian Ahli Parimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan ADUN Duyong, Goh Leong San yang juga merupakan bekas Pengerusi DAP Melaka selama setahun.

 

Tindakan drastik itu dibuat susulan tindak-tanduk kedua-dua pemimpin tersebut didapati berulang kali mengkritik kepimpinan parti dan membuat pelbagai kenyataan yang didakwa telah merosakkan imej dan reputasi DAP.

 

“Sim dan Wong, sebagai pemimpin kanan parti, sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, terutamanya pada masa rakyat perlu DAP untuk menyediakan kepimpinan.

 

“Tetapi bukan sahaja gagal berbuat demikian, mereka juga telah membuat tuduhan palsu terhadap kepimpinan parti di media dan di majlis-majlis awam,” kata Setiausaha Jawatankuasa Tataertib DAP, Tai Xing Piao, dipetik dari laporan Malaysiakini.

 

Kedua-dua pemimpin DAP Melaka itu didakwa membentuk kumpulan yang digelar ‘Justice League’ dan menganjurkan majlis makan malam pada November tahun lepas yang turut disertai seorang bekas ahli parti yang menyampaikan ucapan mengkritik dan mengecam kepimpinan DAP

 

Selain itu tindakan disiplin itu juga dipercayai ada kaitan dengan ucapan Sim Tong Him semasa berucap di majlis makan malam mengutip dana di Johor Bahru anjuran bekas Pengerusi DAP Johor yang juga ADUN Skudai, Dr Boo Cheng Hau pada Januari lalu yang secara terbuka telah menyindir kepimpinan Lim Guan Eng.

 

“Saya ingin mengingatkan bahawa DAP bukannya dimiliki bapa kamu, dan kamu (fikir) boleh lakukan apa sahaja yang kamu suka. Tiada perkara seperti itu.

 

“DAP dimiliki oleh bapa sesiapa sahaja. DAP milik kita semua,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka itu dalam laporan The Star bulan lepas, dipercayai secara sinis merujuk kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

 

DAP Melaka bergelut dengan masalah dalaman sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu berikutan pendirian pemimpin parti di peringkat negeri yang tidak sehaluan dengan pimpinan Pusat khususnya membabitkan Lim Guan Eng.

 

Selepas PRU13, Goh Leong San mengundang kritikan dan rasa tidak senang pimpinan DAP apabila secara terbuka memuji kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang disifatkannya sebagai berpengetahuan luas, banyak membaca dan sistematik.

 

Berikutan kritikan itu, Goh Leong San meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka atas alasan “terlalu banyak campur tangan DAP pusat”.

 

Dalam pemilihan DAP Melaka yang berlangsung pada 13 Disember 2015, ADUN Bandar Hilir, Tey Kok Kiew yang mengetuai kumpulan pro Lim Guan Eng terpilih sebagai Pengerusi DAP Melaka yang baharu selepas menewaskan kumpulan pemimpin tempatan yang diketuai Goh Leong San. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.