John Abraham Tolak Iklan Rokok

MUMBAI – Pelakon Bollywood, John Abraham, menolak membintangi iklan rokok atas dasar prinsip dipegangnya walaupun ditawarkan bayaran lumayan.

 

Menurut sumber terdekat pelakon itu, John tidak seperti selebriti lain. Beliau amat berhati-hati dengan produk yang diiklankannya.

 

“John ada mengiklankan beberapa jenama. Sebelum menggunakan namanya dengan sebarang produk, beliau terlebih dahulu mengadakan banyak penyelidikan.

 

“Syarikat tembakau berasa beliau paling sesuai mengiklankan rokok mewah keluaran mereka. Bagaimanapun, John menolak tawaran itu kerana tidak mahu menggalakkan tabiat merokok,” kata sumber itu.

 

Katanya, John juga tidak merokok, tidak mengambil minuman beralkohol dan menjauhi dadah dalam kehidupannya.

 

“John tidak pernah bertolak ansur dengan prinsip hidupnya. Beberapa tahun lalu, beberapa jenama pakaian dalam menawarkan peluang kepadanya mengiklankan produk mereka.

 

“Bagaimanapun, John menolak semua tawaran itu kerana berasa tidak selesa untuk mengiklankan produk itu,” kata sumber, lapor Agensi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.