DAP Bakal Bertanding Di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Senario politik di Terengganu bakal memperlihatkan perubahan pada PRU14 apabila buat pertama kalinya DAP berkemungkinan bertanding di negeri ini.

 

Walaupun belum ada sebarang pengesahan mengenai perkara itu, gambaran awal dibuat Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing yang mengakui pihaknya mempunyai peluang bertanding melalui kerjasama dalam Pakatan Harapan di negeri ini.

 

Gambaran ini seolah-olah membayangkan DAP akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

 

Lebih jelas lagi apabila Chai Hing turut memberitahu keadaan itu berbeza ketika DAP menjalinkan kerjasama politik dengan Pas melalui PR apabila peluang untuk bertanding seolah-olah tertutup buat DAP di Terengganu sebelum ini.

 

“Masa PR dulu, Pas kata (DAP) tidak boleh (bertanding) sebab dia dominasi. Dia kata kita tidak boleh tanding… tetapi kini melalui Pakatan Harapan, kita ada peluang bertanding,” katanya, di sini.

 

Mengulas lanjut, Chai Hing mengakui bahawa mana-mana parti sudah tentu mempunyai hasrat untuk bertanding termasuk DAP.

 

“Ya, memang mana-mana parti mempunyai harapan untuk bertanding dalam pilihan raya (umum) dan menang,” katanya kepada Sinar Harian ketika program Chinese New Year 2016 Pakatan Harapan di Kampung Tiong, di sini.

 

Chai Hing berkata, setakat ini DAP negeri belum ada perbincangan mengenai perkara itu dan tidak menolak soal pembahagian kerusi memerlukan perbincangan bersama rakan-rakan Pakatan Harapan melibatkan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

 

Sekiranya kuota kerusi diberikan kepada DAP, beliau memberitahu bahawa ia memerlukan penelitian secara kolektif untuk mengelak sebarang masalah termasuk pertindihan kerusi.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.