Ahmad Bashah Yakin Menang Dua Pertiga Dalam PRU14

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yakin Barisan Nasional (BN) negeri mampu memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai jika semua jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri bersama-sama bekerja keras.

 

“Nak dapatkan (menangi) kerusi, kami (wakil rakyat) kena turun, jumpa rakyat bagi penerangan dan kerja keras…bukan duduk sahaja,” katanya ketika berucap pada Program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang, di sini, semalam.

 

Ketika ini, 21 kerusi Dewan Undangan Negeri dipegang BN, PAS (lapan), PKR (empat), DAP (dua) dan Parti Amanah Negara (satu).

 

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata walaupun beliau kini memegang jawatan Menteri Besar, beliau mahu rakyat dan pengundi di kawasan diwakilinya iaitu Bakar Bata mengekalkan hubungan baik dengannya.

 

“Saya tak mahu bila dah jadi Menteri Besar ini mereka segan nak jumpa dan salam. Saya tak mahu pengundi ada perasaan itu kerana saya tahu keikhlasan sokongan dan kasih sayang mereka terhadap saya.

 

“Saya nak elak protokol yang jauhkan rakyat dengan saya. Saya akan beritahu pegawai, saya Bashah yang dulu sama dengan sekarang,” katanya.

 

Berhubung senarai EXCO kerajaan negeri yang baharu, Ahmad Bashah berkata, beliau ada memaklumkan perkara itu secara tidak rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Beliau berkata, perbincangan rasmi mengenai perkara itu akan dibuat selepas cuti Tahun Baharu Cina. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.