Wiesberger Dahului Kedudukan Dengan Dua Pukulan

Kuala Lumpur – Pemain Austria, Bernd Wiesberger, mendahului kedudukan hari ini, dengan dua pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan Golf Terbuka Maybank Malaysia yang menawarkan hadiah berjumlah US$3 juta atau kira-kira RM10.9 juta.

 

Bertempat di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, Wiesberger mempamerkan aksi mantap, dengan melakukan 10 birdie dan membenam satu bogey di lubang kelapan par tiga untuk sembilan bawah par 63, bagi mengumpul 199 mata.

 

“Saya bermula cemerlang, dengan melakukan lima birdie berturut-turut. Saya dapat memintas pencabar lain lebih awal dan melakukan penyudahan dengan baik.

 

“Ini hari yang amat bermakna bagi saya. Ini juga rekod dalam Jelajah Eropah bagi saya. Saya belum pernah mencatatkan 63.

 

“Saya sudah memperbaiki pukulan putt…saya bertukar kepada model yang berbeza dan ia ternyata berhasil. Esok ialah hari lain dan apa sahaja boleh berlaku. Saya akan cuba dan memberi peluang lagi kepada diri saya pada Ahad,” katanya.

 

Mengekori rapat ialah pemain Sepanyol, Alejandro Cañizares yang melakukan eagle di lubang ke-16 par empat, dengan menambah enam birdie dan empat bogey untuk catatan empat bawah par 68, dengan mengutip 201 mata pada pusingan ketiga.

 

“Saya melakukan banyak kesilapan berbanding hari-hari sebelumnya, tetapi saya gembira dapat melakar dua pada 16. Saya bernasib baik, tetapi agak malang pada (bogey) terakhir.

 

“Saya cuma memberi perhatian kepada diri sendiri. Memang seronok untuk berdepan pemain (Wiesberger) yang beraksi baik dan seolah-olah menarik kita untuk melakukan birdie.

 

“Apa yang boleh saya lakukan ialah melakukan yang terbaik dan cuba menikmati keseronokan. Jika saya dapat menikmati keseronokan, saya mungkin akan berjaya. Itulah matlamat saya esok,” katanya.

 

Jaguh dari England, Lee Westwood selaku juara bertahan bersama rakan sepasukannya, Paul Waring menduduki tempat ketiga dengan berkongsi 202 mata 14 bawah par.

 

Dalam pusingan hari ini, Westwood melakar tiga bawah par 69, sementara Waring beraksi baik dengan tujuh bawah par 65.

 

Sementara itu, Anirban Lahiri dari India menunjukkan aksi terbaik pada kejohanan itu, dengan menyempurnakan 10 birdie untuk catatan 10 bawah par 62.

 

“Saya beraksi cemerlang hari ini. Saya bangkit dan mengurangkan tekanan kepada diri saya. Sejak dua hari lalu, persembahan saya tidak banyak berbeza dengan apa yang saya lakukan hari ini, tetapi saya terlalu mahu mencuba.

 

“Esok ialah hari baru dan hari ini ialah hari yang sangat istimewa. Saya terus mencuba untuk membuat pukulan tepat, dengan memastikan bola tidak tersasar dan memberi diri peluang.

 

“Saya membuat pukulan putt dengan baik hari ini dan itulah yang saya perlu lakukan sekali lagi esok,” kata Lahiri.

 

Pemain Thailand, Thongchai Jaidee berjaya mencuri perhatian, apabila berjaya melakukan “hole-in-one” pada lubang ke-11 par tiga.

 

Atas kejayaan itu, Thongchai akan menerima jam tangan Epos, esok. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.